Penduduk Kuantan Demonstrasi Bantah Pembinaan Loji Radioaktif Di Parlimen

Diterbitkan: Rabu, 30 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sekumpulan penunjuk perasaan berpakaian kemeja T hitam dengan perkataan 'Selamatkan Malaysia' berhimpun di luar kawasan Parlimen di sini membantah pembinaan loji radoaktif bahan nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

Ahli kumpulan yang mendakwa mereka sebagai 'rakyat biasa' yang tinggal di Kuantan, memegang sepanduk 'Selamatkan Kuantan' dan 'Hentikan Lynas'.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (PKR) dilihat mengetuai kumpulan berkenaan.

Salah seorang ahli kumpulan tersebut berkata, mereka tiba dengan empat buah bas dan kebanyakan mereka tinggal dalam radius 20 kilometer dari lokasi loji itu akan dibina.

Mereka disekat oleh polis dari memasuki kawasan Parlimen.

Loji itu adalah pelaburan Lynas Corp Australia yang menubuhkan Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd bagi membina kilang memproses bahan nadir bumi yang digunakan untuk menghasilkan bahan mula bagi pembuatan produk berteknologi tinggi.

Pelaburan membabitkan nilai hampir RM700 juta itu diluluskan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia pada 12 November 2007.

Projek itu juga memerlukan kelulusan kerajaan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (DOSH) dan LPTA, serta melibatkan enam lesen kesemuanya.

Tiga daripada lesen ini adalah mengenai keselamatan radiologi di bawah LPTA iaitu Lesen Penempatan Tapak, Lesen Pembinaan dan Lesen Pengendalian.

Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta pihak yang berkaitan memberi penjelasan kepada penduduk mengenai aspek keselamatan loji pemprosesan logam radioaktif terbabit sebelum lesen dikeluarkan kepada Syarikat Lynas (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan penduduk di kawasan sekitar tapak loji, terutamanya di Gebeng, Pahang mendapat jaminan keselamatan.

"Siapa saja yang berkuasa - LPTA (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom), kerajaan pusat, kerajaan negeri - sebelum keluarkan lesen mereka mesti beri penjelasan terperinci kepada umum.

"Ini supaya orang ramai tahu keadaan sebenar, tahu keselamatan mereka dijaga dan loji itu selamat. Kemudian barulah lesen itu dikeluarkan," katanya kepada pemberita padaSelasa.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan