Kerajaan Tanggung Kos Lebih RM11 Juta Bagi 16 Pilihan Raya Kecil - Berita Semasa | mStar

Kerajaan Tanggung Kos Lebih RM11 Juta Bagi 16 Pilihan Raya Kecil

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung kos lebih RM11 juta bagi melaksanakan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Dewan Rakyat diberitahu, Selasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata perbelanjaan yang besar diperlukan bagi menampung kos dan perkhidmatan bagi setiap pilihan raya kecil seperti pengangkutan, tempat tinggal, makanan dan minuman.

"Anggaran kos yang digunakan bagi menjalankan pilihan raya kecil ialah antara RM318,000 dan RM1,290,000 bergantung kepada kawasan pilihan raya yang terlibat dalam pilihan raya itu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil) mengenai kos yang dibelanjakan untuk sesuatu pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum ke-12 dan adakah kerajaan bercadang untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil dengan menggantikannya dengan kaedah lain.

Mohamed Nazri berkata perincian setiap pilihan raya kecil ialah Permatang Pauh (RM409,000), Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367.93), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.290 juta), Galas (RM1.047), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Sementara itu, beliau berkata kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.

"Setiap keputusan bagi pilihan raya kecil yang diadakan adalah muktamad dan perbelanjaan yang digunakan dianggap sah," katanya.

Mengenai kemenangan Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil yang dianggap 'tidak halal' selain melaksanakan projek 'mee segera' dan memberikan 'durian runtuh' kepada rakyat semasa pilihan raya kecil, Mohamed Nazri berkata projek itu bukan bersifat 'disegerakan' sebaliknya ia dipercepatkan semasa pilihan raya kecil kerana telah terdapat peruntukan yang ditetapkan.

Beliau berkata kerajaan sentiasa melaksanakan projek yang membolehkan rakyat di negeri yang terbabit menerima manfaat dengan segera.- BERNAMA

   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan