Kad Penilaian Khidmat Pelanggan PDRM Dapat Sambutan Orang Ramai

Diterbitkan: Selasa, 29 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kad penilaian khidmat pelanggan, satu inisiatif yang diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur sejak awal Mac lalu dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan anggota-anggotanya, mendapat sambutan yang amat positif daripada para penduduk di Lembah Klang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, sambutan positif itu datand dalam bentuk ulasan yang diberikan dalam kad penilaian khidmat berkenaan.

Menurutnya, setakat ini dua buah kawasan di bawah seliaan PDRM KL iaitu Sentul dan Brickfields adalah yang paling proaktif dalam menyahut langkah PDRM untuk memberikan penilaian kepada anggota-anggotanya.

“Di kawasan Sentul umpamanya, pihak kami telah menerima sebanyak 343 keping kad penilaian khidmat dan daripada itu, 331 adalah ulasan positif manakala hanya 12 responden memberikan maklum balas negatif.

“Senario yang sama juga kelihatan di Brickfields apabila kami menerima sejumlah 137 ulasan positif penduduk daripada 144 kad yang dikembalikan. Ini semuanya membuktikan bahawa rakyat peka dengan apa yang dilaksanakan oleh PDRM,’’ katanya ketika ditemuramah dalam Program Kerusi Panas, terbitan Bernama Radio24.

Mengulas lanjut, Datuk Zulkifli menegaskan, pihaknya juga berminat untuk mendengar ulasan-ulasan negatif daripada para penduduk agar PDRM KL mendapat gambaran sebenar terhadap sesuatu masalah sekaligus membolehkan mereka menangani sesuatu isu secara menyeluruh.

Pada masa yang sama, beliau turut menambah, segala inisiatif dalam kad penilaian khidmat ini akan diperhalusi semula setiap tiga bulan sekali. Dalam hubungan ini, proses pengubahsuaian akan dilakukan ke atas kad penilaian khidmat itu sekiranya keadaan memerlukan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan