Wanita Beri Sumbangan Signifikan Dalam Pembangunan Bandar - Rosmah

Diterbitkan: Isnin, 28 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah wanita yang dilantik sebagai anggota majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah kecil, namun mereka masih berupaya memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bandar di negara ini, kata Datin Seri Rosmah Mansor.

Isteri Perdana Menteri berkata statistik terkini menunjukkan anggota majlis daripada kalangan wanita adalah kurang daripada 15 peratus, dan masih jauh daripada dasar kerajaan yang menetapkan kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat membuat keputusan atau dasar.

"Apa yang penting adalah kualiti sumbangan yang diberikan. Saya percaya Anggota Majlis Wanita Kerajaan Tempatan akan menjadi pelengkap kepada usaha meningkatkan keberkesanan anggota wanita dalam menjalankan peranan di PBT masing-masing.

"Dengan berbekalkan ilmu, pengalaman, kemahiran serta kreativiti, puan-puan pasti berkeupayaan untuk memangkin perubahan demi mencapai kecemerlangan berterusan," katanya ketika berucap merasmikan seminar Keberhasilan Melalui Transformasi Pendekatan dan Tindakan anjuran Persatuan Ahli Majlis Wanita Kerajaan Tempatan Malaysia di sini, Isnin.

Turut hadir, presiden persatuan Datuk Azizah Mohd Dun dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Yeo Heng Hau. Rosmah berkata anggota majlis wanita perlu peka kepada isu-isu semasa, sentiasa berusaha meningkatkan kefahaman dan pengetahuan dalam bidang ilmu yang berkaitan, mesra rakyat serta mampu memberikan idea-idea yang bernas.

"Dengan ini, peranan dan sumbangan anggota majlis wanita akan lebih menonjol dan bukan semata-mata sebagai pelengkap kepada komposisi ahli majlis sesebuah PBT," katanya.

Beliau berkata proses perbandaran yang pesat menjadikan peranan dan tanggungjawab PBT sebagai pengurus bandar dan penyedia khidmat bandar semakin penting kerana mereka merupakan pemangkin pembangunan setempat dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Berhubung usaha persatuan untuk membanteras kemiskinan di kawasan bandar, Rosmah menyarakankan agar ia dimulakan dengan memberi perhatian kepada proses keupayaan kendiri dari peringkat awal usia lagi.

Justeru katanya, PBT perlu menyediakan program didikan awal yang berkualiti kepada kanak-kanak terutama daripada keluarga yang kurang berkemampuan, sama ada di bandar atau luar bandar, dan tidak menunggu sehingga individu meningkat dewasa.

Pada majlis itu, Rosmah turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman antara persatuan tersebut dengan KPKT bagi menjalin kerjasama dalam program kitar semula, lawatan dan seminar.

Persatuan itu diwakili setiausaha agung, Lele Suzana Kudari manakala KPKT diwakili Yeo. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan