Umno Dan BN Akan Terus Hidup Berdasarkan Senario Politik Semasa: Tun Daim

Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tun Daim Zainuddin yakin bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) akan terus hidup berdasarkan kepada pengamatannya terhadap senario politik semasa.

Bekas Menteri Kewangan dan Menteri Tugas-Tugas Khas itu berkata selagi rakyat tetap berhemah dan bijak membezakan antara padi dan sekam, beliau percaya BN akan terus memerintah.

"Saya tak fikir BN boleh kalah lebih teruk daripada pilihan raya umum 2008. Situasi politik pada 2008 itu amat berbeza daripada situasi sekarang," katanya dalam wawancara bersama Mingguan Malaysia yang disiarkan akhbar itu, Ahad.

Berikutan itu, Daim yang juga bekas Bendahari Umno, menasihatkan pemimpin-pemimpin UMNO dan (BN) supaya sentiasa mengawasi diri dan peka terhadap tentangan dan tuntutan rakyat.

Beliau mengingatkan jika mereka tidak waspada dan berhati-hati dalam semua tindakan, suasana tenang boleh bertukar menjadi keruh dalam sekelip mata.

"Maka, para pemimpin UMNO dan BN perlu sentiasa awas diri dan peka terhadap tentangan dan tuntutan rakyat, baik sekecil mana sekali pun, walaupun kita sedar tidak mungkin semua masalah dapat diselesaikan semahu-mahunya," katanya.

Daim juga berkata setiap wakil rakyat dan pemimpin BN harus bekerja keras untuk "menghidupkan" Umno dan BN dan bukannya "mencari hidup" daripadanya.

"Oleh itu setiap wakil rakyat, setiap pemimpin BN, baik yang kecil atau yang besar, harus sentiasa "turun padang", jangan tunggu "padang" datang kepada kita," katanya dalam wawancara panjang yang turut menyentuh pelbagai isu politik semasa tanah air.

Menurutnya menerusi acara turun padang, mereka boleh mendapat maklum balas yang betul untuk menyelesaikan masalah rakyat dan ini boleh mengukuhkan lagi UMNO.

Beliau memberikan contoh bagaimana Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang sentiasa turun padang sama ada di majlis kenduri perkahwinan, kematian, kebakaran dan kemalangan.

"Kalau tak dapat hadir, (dia) hantar wakil lepas itu beliau hantar SMS. Beliau mesra dengan rakyat," katanya.

Daim, yang kini berusia 73 tahun, berkata bahawa jentera Umno dan BN juga harus digilap, diperbaiki dan dimodenkan seiring dngan perubahan sosial, teknologi maklumat dan ekonomi yang sentiasa berubah.

Beliau merujuk kepada cara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mendekatkan diri dengan rakyat menerusi blog dan twitter untuk "berbual" secara spontan dengan mereka terutama golongan muda.

"Kita harus ingat bahawa golongan muda kita sekarang jauh lebih berpelajaran, lebih jauh kepergiannya dan jauh lebih luas rangkaiannya jika dibandingkan dengan golongan muda selepas Merdeka," katanya.

"Mimpi mereka, harapan mereka, aspirasi mereka tentu berbeza daripada yang dialami oleh ibu bapa mereka," katanya.

Daim berkata UMNO dan BN harus memahami semua perkara itu dengan jelas supaya dapat melaksanakan program-program yang berterusan yang boleh dihayati oleh golongan ini.

"Jika golongan ini berjaya diasuh untuk memahami, menghormati, menghargai dan menyayangi perjuangan UMNO dan BN, maka bangsa dan negara pasti akan melihat esok yang lebih gemilang," katanya.

Dalam pada itu, Daim berkata kekuatan Najib seorang belum tentu menjamin kemenangan BN, sebaliknya calon-calon BN mestilah bersih dan diterima rakyat.

Menurutnya semua anggota BN mesti bersatu menghadapi parti lawan kerana bila UMNO kuat, BN juga kuat dan kekuatan BN itu akan membawa kemenangan.

Dalam wawancara itu, Daim juga berkata retorik dan slogan parti-parti pembangkang dalam kempen 2008 'penuh madu' kerana setelah memerintah segala janji manis mereka ternyata kosong belaka.

Namun, katanya, mood dan persepsi majoriti rakyat terhadap BN sudah lebih positif daripada 2008 dan ini terbukti melalui pilihan raya kecil yang diadakan.

Selepas pilihan raya umum 2008, BN menang lapan daripada 16 kerusi pilihan raya kecil tetapi sejak November 2010, BN menang semua lima kerusi pilihan raya kecil dengan majoriti yang lebih baik.

"Tetapi ini hanya pilihan raya kecil. Jadi jangan terlalu yakin. Salah satu sebab kekalahan 2008 ialah terlalu yakin. Rakyat masih memerlukan perubahan dan BN sepatutnya menyediakan perubahan ini," katanya.

Daim juga mempersoalkan pembangunan yang dibawa untuk rakyat oleh negeri yang diperintah oleh parti pembangkang di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

"Berapa bilion ringgit modal asing baru terutama daripada negara Arab yang telah dibawa masuk oleh Penasihat Ekonomi Selangor itu (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?

Menyentuh pandangannya mengenai perkembangan politik tanah air, Daim berkata keadaan politik secara keseluruhannya bertambah tenang dan rakyat nampaknya semakin matang dalam hal-hal politik.

"Usaha Datuk Seri Najib, sejak menjadi Perdana Menteri, untuk membina kembali keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional adalah faktor utama yang menenangkan keadaan itu. Saya lihat Datuk Seri Najib sangat jujur dan ikhlas berusaha untuk membantu meninggikan taraf keselesaan hidup rakyat terutama bagi golongan rendah pendapatan dan miskin," katanya.

Mengenai pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dirinya dalam buku "A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad", Daim berkata beliau tidak pernah menjangka Dr Mahathir sanggup berterus terang sebegitu.

"Saya juga sangat berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberi penjelasan yang terang dan tidak berselindung mengenai tindakan-tindakan saya yang pernah menjadi tanda tanya sewaktu saya menjadi Menteri," katanya.

Mengenai dirinya sekarang yang sudah agak lama menyepi dari arena politik negara, Daim berkata beliau sibuk seperti biasa walaupun tidak bertugas dengan kerajaan kerana masih sering bertemu para pelabur asing baik yang datang ke sini atau yang di luar negara, membantu mereka di mana perlu.

"Sejak berlaku krisis kewangan dunia saya banyak meluangkan masa di negara Teluk. Krisis kewangan itu menyebabkan mereka yang tidak menjadi mangsa mencari tempat pelaburan yang lebih stabil dan selamat seperti negara kita," katanya.- BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan