Penduduk Kluang Tarik Nafas Lega Berikutan Pengumuman PM Mengenai Air

Diterbitkan: Ahad, 27 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Penduduk Kluang boleh menarik nafas lega berikutan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam tentang persetujuan kerajaan terhadap pembinaan sebuah empangan dianggar bernilai RM105 juta di Kahang di sini bagi membekal air bersih.

Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Mahkota Md Jais Sarday berkata, pengumuman Perdana Menteri itu menandakan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk Kluang saban tahun bakal menemui jalan penyelesaiannya.

"Tanpa empangan yang baru itu, kita tidak akan ada air untuk dibekalkan kepada seluruh penduduk Kluang dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun," katanya yang juga merupakan Exco Belia dan Sukan Johor kepada Bernama, Ahad.

Pada ketika ini katanya, air yang dibekalkan kepada penduduk Kluang dari empangan Semberong Barat dan Semberong Timur tidak mampu menampung keperluan 330,000 penduduk daerah itu.

Perdana Menteri ketika menghadiri majlis jamuan rakyat di sini malam semalam, mengumumkan persetujuan kerajaan pusat untuk membina sebuah empangan di Kahang bagi membekal air kepada penduduk Kluang.

Pengumuman Najib disambut tepukan gemuruh oleh kira-kira 10,000 penduduk Kluang yang menghadiri majlis jamuan rakyat itu, yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman.

Menurut Md Jais, dalam dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun daerah Kluang dijangka menghadapi pertumbuhan penduduk yang mendadak, memaksa masalah bekalan air diselesaikan dengan cepat.

"Dalam jangka masa terdekat ini sahaja, terdapat 30,000 buah rumah baru di beberapa buah taman perumahan sekitar Kluang akan mula didiami penduduk, menjadikan masalah bekalan air di Kluang berada di tahap kritikal," katanya.

Empangan Semberong Barat pada ketika ini kata beliau hanya mampu membekalkan sebanyak 55 juta liter air sehari, berbanding 76 juta liter air sehari yang sepatutnya dibekalkannya kepada penduduk Kluang, katanya.

Beliau berkata empangan Semberong Timur yang sepatutnya membekalkan 30 juta liter air sehari kepada penduduk Kluang, hanya mampu membekalkan 27.8 juta liter air sehari.

Beliau berkata, berikutan masalah-masalah yang dihadapi oleh kedua-dua empangan itu, penduduk Kluang sejak 2003 terpaksa berhadapan dengan catuan air yang berpanjangan pada masa-masa tertentu.

Katanya, empangan Semberong Barat lebih kepada tugas tebatan banjir dan bukan bekalan air, manakala empangan Semberong Timur pula berhadapan dengan masalah air sungai yang rendah.

Md Jais berharap, kerja-kerja awal untuk membina empangan baru di Kahang itu akan bermula tidak lama lagi, termasuk penyediaan kertas kerja terperinci melibatkan pelbagai agensi kerajaan.

Kerja-kerja membina empangan itu dijangka bermula tahun depan, katanya.

Beliau menjangkakan empangan yang akan menjadi penyelesaian kepada masalah bekalan air di Kluang itu, akan dibina di pertemuan antara Sungai Semberong dan Sungai Kahang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan