PDRM Azam Tingkat Imej, Tambah Pegawai Dan Anggota

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

DATUK Seri Hishamuddin Tun Hussein beramah mesra dengan veteran Komando 69 PDRM Sheikh Ismail Mohd, 68 selepas sambutan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak di Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto BERNAMA
DATUK Seri Hishamuddin Tun Hussein beramah mesra dengan veteran Komando 69 PDRM Sheikh Ismail Mohd, 68 selepas sambutan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Jalan Semarak di Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berazam meningkatkan imej polis ke suatu tahap lebih tinggi menerusi transformasi yang dilakukan termasuk menambah pegawai dan anggotanya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Integriti adalah kunci utama kepada perubahan ini kerana dengan kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat sahajalah PDRM dapat meneruskan usaha untuk membuat perubahan.

"Pasukan polis yang sedang dibentuk menerusi pengambilan baru ketika ini juga perlu melalui proses perubahan. Saban tahun kita dapati begitu ramai tampil dengan hasrat untuk menyertai pasukan polis," katanya ketika berucap sempena Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis di sini, Jumaat.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Panglima Tentera Darat Datuk Seri Zulkfeli Mohd Zin.

Hishammuddin yakin jika proses pengambilan ditingkatkan dengan memberi keutamaan terhadap ciri-ciri baru yang memenuhi kriteria digariskan bagi memastikan pasukan yang bakal dibentuk muncul sebagai sebuah pasukan lebih disegani dan dihormati.

"Pucuk kepimpinan PDRM perlu melihat lebih dalam terhadap usaha untuk mencari dan mengenal pasti anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang dan kaum yang berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan.

"Kita tidak boleh hanya menunggu mereka datang kepada kita tetapi kita perlu ke depan dan mengenal pasti mereka yang berpotensi sejak dari peringkat lebih awal," katanya.

Hishammuddin menegaskan bahawa PDRM amat positif dan komited dalam menjayakan agenda transformasi khususnya melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dengan mengurangkan kadar jenayah indeks sebanyak lima peratus dan menurunkan kadar jenayah jalanan 20 peratus sehingga penghujung tahun lepas.

"Dengan berkat kesungguhan warga PDRM, sasaran itu berjaya dicapai melebihi daripada angka asal yang disasarkan, dengan jenayah indeks berjaya dikurangkan sehingga 15 peratus manakala jenayah jalanan berjaya dikurangkan sehingga 35 peratus dalam tempoh itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata KDN sedang berusaha memperkukuhkan skim perkhidmatan PDRM melibatkan Pegawai Kanan PDRM, perubahan gaji matriks dan elaun di kalangan pegawai rendah polis dan konstabel.

"Skim perkhidmatan baru yang akan diperkenalkan ini bertujuan menambah baik dalam perkara berkaitan dengan kelayakan masuk, penggredan semula struktur pangkat, struktur gaji matriks dan imbuhan tetap.

"Ia sejajar dengan saranan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM bagi memastikan skim perkhidmatan polis sentiasa relevan dan berdaya saing berbanding skim perkhidmatan lain," katanya.

Terdahulu, Hishammuddin memeriksa barisan kawalan kehormat 95 anggota PDRM dan menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada 12 anggota PDRM.

Majlis itu diserikan dengan beberapa persembahan antaranya persembahan "Gayung Perang" oleh 69 anggota komando dan pancaragam polis.

Sementara itu di TAWAU, inisiatif pencegahan jenayah menggunakan konsep payung yang diperkenalkan Polis Sabah termasuk di daerah ini sejak awal tahun ini berjaya mengurangkan kadar kes jenayah.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata dari Januari hingga Khamis, 154 kes direkodkan berbanding 276 kes pada masa sama tahun lepas, dengan 74 daripada jumlah kes telah diselesaikan.

Bercakap pemberita selepas menghadiri majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, pois membina payung dan menempatkan anggotanya di lima kawasan tumpuan orang ramai termasuk di kawasan bank, pasar raya dan Pasar Umum Tawau.

Di SEREMBAN, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Datuk Abdul Manan Mhd Hassan berkata program gerak tumpuan akan dilancarkan bulan depan tertumpu pada kawasan di mana indeks jenayahnya tinggi.

Katanya kawasan indeks jenayahnya tinggi akan dijadikan kawasan angkat polis dan aktiviti pencegahan jenayah diselaraskan dengan jawatankuasa keselamatan kawasan itu.

"Kita akan berbincang dengan mereka (jawatankuasa keselamatan) bagaimana hendak menurunkan kadar jenayah dan kita akan pantau perkara ini sampai akhir tahun," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan sempena Hari Polis di padang kawad Sekolah Latihan Kontinjen Negeri Sembilan.

Abdul Manan berkata jenayah indeks bagi kategori jenayah keganasan dan jenayah harta pada tahun lepas mencatatkan penurunan 1,112 kes daripada 7,963 kes pada 2009 manakala kes jenayah jalanan menurun 161 kes daripada 683 kes pada 2009.

"Daripada aspek penyiasatan kes jenayah pula, kita perlu gandakan usaha ke arah meningkatkan penyelesaian kes terutamanya kes jenayah harta benda. Kadar penyelesaian kes adalah 3,323 kes, bersamaan 48.50 peratus bagi 2010, berbanding 3,844 kes atau 48.27 peratus tahun sebelumnya," katanya.

Pada majlis itu, 40 pegawai dan anggota serta penjawat awam menerima sijil penghargaan Ketua Polis Negeri Sembilan.

Di MARANG, Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC Datuk Hamzah Jamil berkata menerusi Ops Payung di semua daerah seluruh negeri pada 28 Mac, Polis Terengganu akan menempatkan anggota di kawasan seperti pasar tani, pusat membeli-belah dan berhampiran kawasan sekolah di 35 lokasi terpilih.

"Kita akan menempatkan anggota di tempat tertentu bertujuan memudahkan orang ramai yang ada persoalan atau masalah berinteraksi dengan warga PDRM secara tidak formal.

Di ALOR SETAR, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata jenayah kecurian motosikal di Kedah meningkat tiga peratus bagi tempoh 1 Januari hingga Khamis walaupun indeks jenayah keseluruhan di negeri ini menurun.

Katanya kes kecurian motosikal bermula 1 Januari hingga 24 Mac tahun ini mencatatkan jumlah peningkatan tertinggi iaitu 1,134 kes, peningkatan sebanyak 32 kes daripada 1,102 kes tahun lalu.

"Kita berjaya menurunkan indeks jenayah keseluruhan sebanyak 8.5 peratus iaitu penurunan sebanyak 255 kes jenayah berbanding 3,002 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan sambutan Hari Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ghafar berkata perlakuan jenayah yang menunjukkan penurunan termasuk jenayah jalanan, kes saman berkawan tanpa senjata apai, kes ragut, jenayah kekerasan dan jenayah harta benda. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan