Negara Perlukan Kestabilan Politik Dan Kesinambungan Pemerintahan:Najib

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Perdana Menteri berkata negara memerlukan kestabilan politik dan kesinambungan pemerintahan untuk mencapai matlamat dan visi negara yang selama ini ditadbir urus dengan baik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan negara adalah sesuatu yang telah disusun dengan rapi untuk mencapai matlamatnya.

"Dan ia bukan sekadar impian kosong atau janji yang diperdagangkan oleh mereka yang suka menjual janji kepada rakyat.

"Kita (BN) hendak kuasa kerana kita jauh lebih baik dari pihak lain untuk membela nasib rakyat dan bukan semata-mata (untuk) kuasa sahaja," katanya.

Beliau berkata pembangkang tidak mempunyai asas yang kukuh untuk memerintah negara ini dan dasar yang dicipta oleh mereka cuma sesuatu yang direka dan bersifar populis sahaja.

"Kita tak perlu warna hijau, warna biru muda, juga tak perlu warna jingga, tak perlu kerana itu janji yang diperdagangkan sahaja," katanya pada Majlis Perhimpunan Bersama Rakyat di Kampung Kenangan Tun Dr Ismail 2 di Sungai Abong, di sini, Sabtu.

Najib berkata sebagai pemimpin, beliau berpegang kepada prinsip dan pendekatan bahawa sebagai pemimpin kita tidak boleh jauh dari hati rakyat.

"Menerusi lawatan seperti ini, ia akan memaut paut rasa kasih antara pemimpin selain melihat sejauh mana dasar induk dapat diterjemahkan apabila pemimpin turun ke peringkat daerah dan peringkat akar umbi," katanya.

Beliau berkata lawatan turun ke padangnya juga membuktikan tidak ada tembok pemisah dalam apa keadaanpun antara pemimpin dan rakyat.

Najib juga mengumumkan bantuan kerajaan pusat untuk memajukan bandar ini termasuk untuk membina lebih banyak perparitan bagi mengurangkan masalah banjir berharga RM4.8 juta.

"Satu lagi projek ialah memajukan "uptown" Muar sebanyak RM3 juta yang akan dikongsi sebanyak RM1.5 juta antara kerajaan pusat dan kerajaan Johor," katanya sambil memuji bandar ini mempunyai "uptown" sebagaimana bandaraya Los Angeles di Amerika Syarikat.

Sebelum itu, Perdana Menteri yang diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam lawatan kerja ke bandar ini, mengadakan kunjungan mesra bertemu rakyat khususnya peniaga di pusat bandar Muar.

Turut serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri Datin Prof Dr Jamilah Ariffin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam dan Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan