Agensi Kerajaan Perlu Terap 'Strategi Lautan Biru' Capai Objektif NKRA: Najib

Diterbitkan: Sabtu, 26 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KLUANG: Perdana Menteri mahukan pemikiran "Strategi Lautan Biru" diterapkan dengan lebih meluas di kalangan agensi kerajaan bagi mencapai objektif di dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerjasama di antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di dalam Program Pemulihan Pemasyarakatan yang dilancarkan, Sabtu sebagai contoh pemikiran terbabit.

"Menerusi penerapan pemikiran 'Strategi Lautan Biru', agensi kerajaan dapat mencapai objektif-objektif di dalam NKRA dengan kos yang minimum," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota di sini, Sabtu.

Menurut beliau, pemikiran "Strategi Lautan Biru" itu melibatkan pemikiran di luar kebiasaan dengan mengaplikasikan cara-cara yang kreatif dan inovatif, tetapi dalam masa yang sama dengan kos yang minimum.

Pusat Pemulihan Pemasyarakatan di Kem Mahkota, di sini yang dilancarkan hari ini melibatkan sekumpulan penempatan banduan di dalam kawasan kem tentera dengan kawalan keselamatan yang minimum.

Perdana Menteri berkata, menerusi program pemulihan pemasyarakatan itu, kerajaan telah dapat menjimatkan kos apabila ia tidak perlu membina penjara baru yang setiap satunya bernilai di antara RM50 juta hingga RM60 juta.

"Menerusi program ini, kerajaan hanya membelanjakan RM4.5 juta untuk membina satu pusat pemulihan pemasyarakatan," katanya sambil menambah, di dalam Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan hanya akan membina sebuah penjara.

Katanya, program ini juga baik kerana ia mengasingkan banduan yang melakukan kesalahan ringan daripada pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan berat dan mengelak mereka daripada dipengaruhi.

"Ketika melawat pusat pemulihan itu, saya berkesempatan bertemu dan berbual dengan anggota keluarga banduan yang menyatakan rasa gembira dengan pelaksanaaan program itu," kata Najib.

Suasana di dalam pusat pemulihan itu, katanya, juga amat baik dengan banduan dibenarkan bertemu dengan keluarga mereka setiap hari, serta dibenarkan untuk bekerja dan menabung.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan