Model Baru Politik BN Tumpu Selesaikan Masalah Rakyat : PM

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata model baru politik Barisan Nasional bukan sahaja untuk memahami permasalahan rakyat tetapi menjurus ke arah menyelesaikanya dengan mengambil tindakan yang berkesan.

Perdana Menteri berkata ini berbeza dengan pendekatan lama di mana tumpuan lebih diberi kepada soal intra politik seperti urusan cawangan dan bahagian serta membuat desakan kepada kerajaan bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat.

Najib, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, berkata jika BN tidak faham dan tidak dapat merasai denyutan hati rakyat, maka parti itu tidak mungkin dapat mencari penyelesaian tepat menangani permasalahan yang dilalui rakyat.

"Inilah yang saya maksudkan sebahagian daripada model baru politik. Ya, ini kita tahu masalah rakyat, kita ambil tindakan untuk selesaikan masalah rakyat. Kita cari jalan penyelesaian kreatif dan kita tidak tunggu rakyat datang kepada kita tetapi kita pergi kepada rakyat.

"Inilah konsep kita. Semoga BN akan terus menjadi parti pilihan rakyat Malaysia," katanya berucap melancarkan "BN Youth Job Fair 2011" di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Jumaat.

Najib berkata pada hemat beliau, transformasi politik akan menyokong apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan dalam soal transformasi ekonomi melalui Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Katanya transformasi politik bersandar pada model baru politik yang menuntut BN supaya lebih memahami persekitaran yang wujud pada hari ini iaitu perubahan struktural yang sedang berlaku dalam masyarakat.

"Kita menghadapi satu cabaran amat besar bagaimana memprojekkan (menonjolkan) BN sebagai parti yang tetap relevan kepada setiap zaman dan ketika...segar dan dinamik dan mampu berubah meskipun terus berkuasa. Tetapi tema perubahan itu tidak (harus) dilakukan oleh pihak lain tetapi obor ini dibawa oleh parti kita, BN," katanya.

Menurut beliau, BN sebagai sebuah parti politik, tidak boleh berada dalam keadaan terlalu selesa dengan apa yang telah dilakukan dan dicapai selama ini.

"Kita sedia bawa perubahan kepada negara ini menerusi BN," katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Pemuda BN yang menganjurkan Karnival Kerja Pemuda BN 2011 itu buat pertama kali.

Beliau berkata ini bermakna Pemuda BN memberi tumpuan kepada bukan sahaja memahami masalah generasi muda yang kebanyakannya berkisar pada soal kerjaya dan masa depan mereka, tetapi juga mencari jalan penyelesaian berkesan kepada masalah mereka.

"Kalau ikut cara lama kita mendesak kerajaan, kita mendesak menteri untuk penyelesaian permasalahan ini. Tapi dalam model baru (politik) ini, kita (Pemuda BN) bertindak membantu kerajaan menyelesaikan masalah ini.

"Inilah yang saya maksudkan antara ciri model baru politik yang perlu diamalkan oleh kita sebagai sebuah parti politik kalau kita ingin memperlihatkan BN yang baru, BN yang lebih dinamik, BN yang lebih bersemangat, BN yang lebih berorientasikan tindakan supaya kita tidak perlu tunggu yang lain untuk membuat seruan lantang bagi perubahan dan pembaharuan," katanya.

Najib juga mempunyai jawapan kepada persoalan oleh sesetengah pihak di negara ini mengenai sama ada apa yang berlaku di negara seperti Mesir dan Tunisia dan yang sedang berlaku di negara Arab lain, kemungkinan akan berlaku juga di Malaysia.

"Jawapan saya mudah sahaja. Bila ribut di sana, majoriti BN bertambah dalam pilihan raya kecil. Itu jawapan terbaik saya boleh beri kerana kita ada demokrasi yang berkembang di Malaysia," katanya.

Di majlis itu, Perdana Menteri turut menerima sumbangan daripada universiti dan kolej yang menyumbang kepada Biasiswa Pendidikan Pemuda BN berjumlah RM16.5 juta.

Beliau turut menyerahkan surat tawaran kerja kepada beberapa pemuda yang mendapat pekerjaan menerusi karnival kerjaya itu. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan