Malaysia Tumpu Pergantungan Kepada Perkhidmatan & Pembinaan, Kata PM

Diterbitkan: Jumaat, 25 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia kini menumpukan pergantungan yang lebih besar kepada sektor perkhidmatan dan pembinaan sebagai enjin pertumbuhan seterusnya susulan jangkaan pertumbuhan sederhana di Amerika Syarikat dan Eropah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pertumbuhan perlahan di AS akan memberi kesan kepada permintaan pembuatan kita, oleh itu kita perlu bergantung kepada sektor perkhidmatan dan pembinaan sebagai enjin pertumbuhan seterusnya.

"Itulah sebabnya mengapa kami menggerakkan projek ETP (Program Transformasi Ekonomi) seperti Transit Aliran Massa (MRT) agar apabila tender keluar, rakyat akan mendapat pekerjaan," kata beliau dalam temu bual baru-baru ini yang disiarkan dalam keluaran terbaharu majalah Malaysian Business.

Najib berkata semasa beliau memegang tampuk pemerintahan pada 2009, cabaran terbesar adalah untuk memulihkan negara daripada cengkaman kemelesetan.

Kerajaan, katanya, telah melakukan pemulihan ini dengan cara yang mantap dan disokong oleh sistem perbankan yang kukuh dan berdaya tahan.

"Ini kerana kami mengambil langkah berani mencapai pertumbuhan tujuh peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menerusi pakej rangsangan. Ini merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia dari segi KDNK," kata beliau.

Ditanya sama ada Malaysia, sebagai pengeksport bersih minyak, mendapat faedah daripada harga minyak tinggi ketika ini, Najib berkata negara mendapat manfaat daripadanya apabila pendapatan Petronas, perbadanan minyak negara, juga meningkat.

"Terdapat sedikit faedah bagi setiap peningkatan dolar tetapi ini akan mewujudkan jumlah yang lebih besar bagi subsidi yang diperuntukkan untuk tujuan penggunaan. Bagaimanapun, kita seharusnya menggunakan pendapatan minyak bagi pelaburan produktif yang akan mewujudkan pertumbuhan bagi negara.

"Ekonomi asas menentukan yang sekiranya anda menggunakan sumber yang berkurangan bagi penggunaan, masa perhitungan akan tiba dan satu hari kelak kita tidak akan mempunyai kelebihan itu. Meskipun Malaysia masih memiliki simpanan minyak, kami merancang menggunakannya bagi pelaburan yang produktif dan mewujudkan lebih banyak kekayaan bagi negara.

"Sesetengah orang tidak memahami perkara ini. Mereka mengambil hujahan yang terlalu mudah yang kita adalah negara pengeluar minyak; oleh itu jika harga minyak meningkat kita boleh meneruskan subsidi. Bagaimanapun, mereka lupa dengan hakikat bahawa minyak adalah sumber yang mempunyai had," kata beliau.

Diminta mengulas mengenai kebimbangan bahawa pemotongan perlahan-lahan subsidi kerajaan akan menyebabkan kenaikan harga sesetengah barangan, Perdana Menteri berkata cabarannya adalah untuk mengekalkan keseimbangan "agar apabila harga bahan api meningkat, harga barangan tidak naik terlalu tinggi dan memberi bebanan yang tidak sepatutnya kepada rakyat."

Najib berkata penguatkuasaan telah dipertingkat bagi memastikan peruncit tidak mengambil kesempatan daripada situasi ini untuk menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

"Kerajaan terus mengenal pasti mekanisme yang boleh dilaksanakan untuk memastikan hanya mereka yang layak boleh menikmati subsidi. Kami juga sedar akan inflasi. Dari segi ekonomi, potongan beransur-ansur pelbagai subsidi dalam tempoh lima tahun tidak akan membawa kepada inflasi melebihi empat peratus setahun," kata beliau. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan