Interlok: 19 Perkara Dianggap Sentuh Sensitiviti Kaum India

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju dengan dapatan Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok (Panel Bebas) yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 bentuk cadangan pindaan boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata panel bebas itu berpendapat baki 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok termasuk cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel dan ejaan "tali" dipinda kepada "taali".

"Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu (Paria) dalam novelnya.

"Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai," katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) bersama empat lagi pertanyaan anggota Parlimen lain pada persidangan Dewan Rakyat berhubung kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera (Komsas) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh perkara dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan "errata" di dalam novel terbabit bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India.

Katanya, enam perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis sekali lagi telah bersetuju untuk meminda perkataan "tuhan" kepada perkataan "dewa" dan menggugurkan frasa "orang berkulit hitam" daripada novel itu.

"Oleh yang demikian, kesemua ahli panel termasuk wakil masyarakat India telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang," katanya.

Selain itu, katanya, kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

"Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik. Ini adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa di negara kita tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja perundingan.

"Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit manapun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar.

"Episod Interlok ini menjadi bukti kepada kita betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat menghormati antara kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia terus subur di negara kita," katanya.

Muhyiddin berkata Interlok adalah sebuah karya kreatif yang menggabungkan fakta sejarah sosial dan imaginasi pengarang.

Katanya, melalui adunan realiti dan imaginasi, novel itu cuba memaparkan suatu bentuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum merdeka.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan