Chong Wei Sasar Kutipan RM1 Juta Bantu Mangsa Tsunami Di Jepun

Diterbitkan: Khamis, 24 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chong Wei (kiri) bersalaman Ito selepas mengadakan sidang media untuk mengutip derma bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun di Kuala Lumpur pada Khamis.- FotoBERNAMA
Chong Wei (kiri) bersalaman Ito selepas mengadakan sidang media untuk mengutip derma bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun di Kuala Lumpur pada Khamis.- FotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mensasarkan kutipan RM1 juta menerusi kempen 'Hope & Smile' yang akan dianjurkan pada 2 dan 3 April ini untuk membantu mangsa bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Menurutnya, idea untuk mengadakan program amal itu tercetus selepas menyaksikan berita Jepun dilanda tsunami menerusi siaran televisyen CNN semasa berada di Birmingham, England untuk Kejohanan All England.

"Selepas bangun dari tidur, saya terkejut apabila melihat berita Jepun ditimpa bencana tsunami dan gempa bumi di CNN. Pada waktu itu, saya sedang mempersiapkan diri untuk pusingan suku akhir All England.

"Jadi saya memutuskan untuk melakukan sesuatu bagi membantu mereka. Memandangkan jadual saya begitu padat, program ini diatur pada saat akhir sekembalinya dari menyertai saingan Liga China," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang media kempen 'Hope & Smile' di sini, Khamis.

Sempena program itu, Chong Wei akan melelong sepasang jersi Malaysia berwarna kuning dan hitam, raket dan kasut yang digunakannya ketika mempertahankan kejuaraan di All England minggu lalu.

Proses lelongan dan program amal selama dua hari itu akan diadakan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) pada 2 April dan sehari kemudian di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Chong Wei berkata, beliau turut menjemput pemain terkemuka Indonesia, Taufik Hidayat untuk beraksi pada perlawanan persahabatan bagi memeriahkan kemuncak program amal itu.

"Saya ada menelefon Taufik semalam, mengenai perkara ini tetapi dia belum memberikan keputusan kerana turut terlibat dengan program amal di Indonesia. Dia berjanji akan menghubungi saya semula pada petang ini atau esok," ujarnya.

Jika Taufik tidak dapat hadir, pemain berusia 29 tahun itu akan memanggil Muhammad Hafiz Hashim dan beberapa rakan sepasukannya untuk terlibat dalam program amal tersebut.

"Saya cuba mendapatkan beberapa pemain antarabangsa tetapi mereka terlibat dengan saingan liga di negara masing-masing, begitu juga dengan pemain muda Jepun, Kenichi Tago. Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong juga tidak dapat hadir pada waktu itu kerana menyertai Liga China," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai jumlah sumbangan peribadinya kepada mangsa di Jepun, Chong Wei berkata, beliau akan mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu kepada media sejurus selepas selesai program amal tersebut.

Hasil kutipan derma itu kelak akan diserahkan kepada pasukan Palang Merah dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Delegasi Kedutaan Jepun di Malaysia, Koichi Ito.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan