Menteri Dalam Negeri: Bt Aman Yang Kini Ditugaskan Siasat Kes Rakaman Video

Diterbitkan: Rabu, 23 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Satu pasukan khas dari Bukit Aman akan ditugaskan untuk menyiasat kes yang dilaporkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan rakaman video yang memperlihatkan adegan seks seorang pemimpin pembangkang dengan wanita yang didakwa seorang pelacur dari Asia Timur.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika memberitahu demikian menegaskan, kes itu yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi awal pagi Selasa oleh Anwar telah dipindahkan ke Bukit Aman kerana ia adalah satu kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam.

“Oleh itu, satu pasukan khas dari Bukit Aman yang akan menyiasat kes ini dan mereka hanya akan bertanggungjawab melaporkan terus kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

“Saya juga telah mengarahkan KPN agar memastikan kes ini disiasat secara telus dan secara profesional dan siasat sedalam yang mungkin," kata Hishammuddin.

Anwar katanya lagi bebas membuat dakwaan tetapi yang akan menyiasat kes ini adalah pihak polis.

Hishammuddin berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini Selasa.

Hishammuddin juga menyatakan bahawa beliau telah pun menjangkakan bahawa yang akan dituduh berkonspirasi di sebalik kemunculan rakaman video tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah kerajaan, perdana menteri dan pihak polis.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, apa yang penting kepada umum sekarang ialah kebenaran.

“Pada akhirnya yang kita hendak tahu dan dengar ialah kebenaran,” ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan