Dr Yee Moh Chai Dilantik Timbalan Ketua Menteri Sabah

Diterbitkan: Rabu, 23 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Dr Yee Moh Chai dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri yang baru.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman ketika mengumumkannya hari ini, berkata Yee akan mengisi kekosongan selepas Datuk Peter Pang En Yin, yang kini menyertai Gerakan, digugurkan pada 16 Mac lepas tetapi dikekalkan sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah. Dr Yee, 56, merupakan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Api Api.

Sabah mempunyai tiga Timbalan Ketua Menteri. Dua yang lain ialah presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Yahya Hussin.

"Ini adalah amalan biasa untuk mengagihkan jawatan-jawatan Timbalan KM kepada tiga suku kaum utama iaitu Kadazandusun Murut, Bumiputera Islam dan Cina. Ini bagi membolehkan kepentingan semua kaum dibela dan diwakili dengan lebih berkesan dalam kerajaan," kata Musa selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet negeri.

Beliau berkata pelantikan itu dibuat setelah dipertimbangkan pelbagai perspektif, dan dalam memilih Yee, keutamaan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat dengan terbaik, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

"Atas faktor itulah Dr Yee telah dipilih untuk mengisi jawatan tersebut. Kita penuh yakin bahawa pelantikan beliau akan dapat diterima secara positif," katanya.

Musa berkata Yee adalah seorang doktor perubatan dan peguam yang terlatih, dan merupakan seorang menteri kanan daripada masyarakat Cina dalam Kabinet Sabah, sekaligus memiliki pengalaman luas dlam politik dan telah mewakili masyarakat Cina sejak tahun 1980 lagi.

"Saya percaya barisan kabinet negeri ketika ini adalah mantap dan stabil, dan dengan pelantikan ini, ia akan memastikan kesinambungan pelaksanaan program-program pembangunan kerajaan," kata Musa.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dimaklumkan mengenai pelantikan itu yang berkuatkuasa serta merta.

Ditanya respon parti-parti komponen Barisan Nasional kerana kini terdapat dua Timbalan Ketua Menteri daripada PBS, Musa berkata: "Ini bukanlah kita menyerah (jawatan berdasarkan) parti, tetapi kita menyerahkan untuk mewakili kepentingan orang Cina."

Mengenai Parti Liberal Demokratik (LDP) yang kini tidak mempunyai wakil menteri dalam kabinet negeri, Musa berkata presiden LPD Datuk Liew Vui Keong yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, serta wakil-wakil parti boleh berjumpa beliau untuk berbincang pada bila-bila masa.

"Kita teruskan hubungan baik dengan LDP, sekarang (LDP) ada pembantu menteri (di kabinet negeri), mungkin di masa hadapan juga kita beri pelantikan jawatan-jawatan sangat penting dalam kerajaan. Kita percaya kita akan beri pertimbangan yang sewajarnya pada masa depan.

"Yang penting kita dalam parti-parti komponen boleh bekerjasama dan pastikan BN mantap dan terus relevan, dan mendapat kepercayaan rakyat," katanya.

Sebelum ini, LDP menyuarakan rasa tidak puas hati kerana semasa Pang meninggalkan LDP dan menyertai Gerakan, beliau masih menjadi Menteri Belia dan Sukan Sabah, satu portfolio yang LDP katakan sewajarnya dikembalikan kepada parti itu.

Pang meninggalkan LDP pada 1 September tahun lepas selepas Timbalan Presiden LDP Datuk Chin Su Phin mengumumkan pucuk pimpinan parti itu tidak lagi boleh bekerja dengan Musa, yang merupakan pengerusi Barisan Nasional negeri.

Naib Presiden LDP Pang Yuk Ming kini adalah Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah.

Ketika mengulas pelantikannya itu, Yee melahirkan penghargaan kepada Najib, Musa dan Pairin.

Beliau berharap dapat melaksanakan tugasnya itu dengan berkesan hasil kerjasama semua pihak.

"Kita akan bekerja keras untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejajar dengan prinsip rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan," kata Yee. - BERNAMA

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan