Keadaan Banjir Di Hilir Perak Tidak Berubah

Diterbitkan: Selasa, 22 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

IPOH: Keadaan banjir di dua daerah di Perak tidak berubah dan 169 orang daripada 43 keluarga yang dipindahkan semalam berikutan kampung mereka dinaiki air sedalam antara 0.5 meter hingga satu meter, masih lagi di tempat pemindahahn banjir.

Mangsa banjir yang dipindahkan itu semalam membabitkan 81 orang daripada 19 keluarga di daerah Hilir Perak dan daripada jumlah itu 44 orang ditempatkan di dewan dan 37 orang di surau.

Sementara itu 88 orang daripada 24 keluarga di daerah Kerian dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, empat buah kampung dari daerah Kerian yang terbabit dalam kejadian banjir terdiri dari Kampung Parit Abu Hasan, Permatang Mat Keling, Batu 40 Bukit Merah dan Batu 38 Jalan Keretapi.

Mereka dipindahkan pada pukul 3 petang semalam berikutan air empangan Bukit Merah melimpah berikutan hujan sejak dua hari lepas menyebabkan kampung mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter, katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Jalan raya di Batu 38 Jalan Alor Pongsu-Selama turut ditutup kepada kenderaan ringan berikutan air naik di jalan tersebut, katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzli Paharuddin turut melawat mangsa banjir di kedua-dua pusat pemindahan tersebut semalam.

Kesemua mangsa banjir telah dipindahkan dengan bantuan Jabatan bomba dan Penyelamat, Polis, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kebajikan Masyarkakat. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan