Pilihan Raya Sarawak: SPR Teliti Cadangan Panjangkan Tempoh Kempen

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil kira pelbagai faktor sebelum menentukan tempoh kempen pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat khas suruhanjaya itu yang akan diadakan Rabu ini.

“Saya tidak boleh komen perkara itu sekarang. Tapi banyak perkara akan kita ambil kira sebelum kita putuskan berapa lama tempoh kempen untuk pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat jadi kita tunggu pengumuman selepas mesyuarat khas SPR Rabu ini,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tempoh kempen selama 21 hari yang diminta oleh Pakatan Rakyat.

Pada Ahad, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh meminta SPR menimbangkan tempoh berkempen yang lebih panjang iaitu 21 hari memandangkan faktor geografi dan kedudukan kawasan negeri Sarawak yang luas.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, mesyuarat akan diadakan di Kuching bermula pada pukul 9 pagi.

“Kita jangka tarikh penamaan calon, tarikh pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan, berapa jumlah saluran mengundi serta tempoh berkempen akan diputuskan selepas mesyuarat.

“Saya jangka sidang media akan diadakan dua jam selepas kita bermesyuarat. Keputusan ini akan diumumkan oleh Pengerusi SPR sendiri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof,” katanya.

Mengenai kawasan panas yang dijangka akan menjadi tumpuan pada pilihan raya negeri kali ini, Wan Ahmad berkata, SPR telah bersiap sedia dan akan bekerjasama dengan pasukan penguat kuasa untuk memantau perkembangan semasa setiap kawasan terutamanya selepas hari penamaan calon.

“Perkara itu kita ambil maklum. Kita akan memberi tumpuan kepada semua kawasan, Cuma di kawasan yang dianggap panas, tumpuan lebih akan diberikan.

“Saya jangka tidak ada masalah sebab SPR telah bersiap sedia sejak dari awal lagi dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak,” katanya.

Pada Isnin, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar mengisytiharkan pembubaran DUN.

Beliau berkata pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini dibuat mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak

Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi SPR pada Selasa.

Sabtu lepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak di bubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Ketika ini, Barisan Nasional menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN.

DAP pula menguasai enam kerusi manakala PKR dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan