Kerajaan Belum Cadang Mansuh Tol NPE - Shaziman

Diterbitkan: Isnin, 21 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang memansuhkan kutipan tol di seluruh Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) memandangkan pendapatan daripada tol itu akan diagihkan bagi membiayai projek pembangunan kerajaan di seluruh negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor bagaimana berkata kerajaan telah memansuhkan kutipan tol NPE arah Kuala Lumpur pada 14 Februari lepas dan mengurangkan bayaran tol NPE arah Sunway daripada RM1.60 kepada RM1 pada 17 Februari lalu.

"Ini merupakan satu langkah progresif yang dijalankan kerajaan sejajar dengan matlamat 'Rakyat Didahulukan' dalam mengurangkan beban yang ditanggung rakyat," katanya ketika menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Hee ingin tahu sama ada kerajaan bercadang memansuhkan kutipan tol di semua Lebuhraya NPE yang dituntut oleh penduduk di Taman Medan dan Taman Dato' Harun.

Menjawab soalan tambahan Hee yang meminta penjelasan mengapa kerajaan tidak memansuhkan kutipan tol ini sedangkan ia membebankan rakyat, Shaziman berkata ia tidak dapat dilaksanakan pada masa ini kerana proses tersebut melibatkan kos yang tinggi.

Kerajaan katanya yang komited dalam menangani beban kutipan tol yang dihadapi pengguna di lebuh raya lain turut mengkaji bagi mencari jalan-jalan alternatif tidak bertol yang boleh dilalui pengguna.

Selain itu katanya kerajaan juga menjamin kadar tol di Lebuhraya Utara- Selatan dan Lebuhraya MTD tidak akan dinaikkan buat masa ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan