Tekun Sasar Usahawan Jalanan, Bantu Hidupkan Ekonomi Setempat

Diterbitkan: Ahad, 20 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) mensasarkan peningkatan sekali ganda jumlah peminjamnya tahun ini dengan tumpuan kepada usahawan jalanan atau pasar malam.

Pengerusinya Datuk Abdul Rahman Ariffin berkata sehingga kini Tekun mempunyai 170,000 peminjam dan usaha sedang dilakukan bagi menarik usahawan jalanan menyertai skim tersebut.

"Mereka hanya memerlukan pinjaman sebagai modal pusingan tidak lebih RM5,000 walaupun Tekun memperuntukkan pinjaman sehingga RM50,000.

"Tekun tumpukan kepada mereka kerana menyedari golongan ini memerlukan bantuan selain untuk menggalakkan lagi ekonomi setempat," katanya.

Katanya Tekun memperuntukkan RM200 juta bagi membantu usahawan kecil tahun ini.

"Tekun mengenakan kadar faedah sebanyak empat peratus sahaja setahun iaitu yang terendah ditawarkan oleh agensi pemberi pinjaman selain proses kelulusan sangat mudah," katanya menambah pembayaran balik pinjaman memuaskan.

Bagi mempromosikan Tekun pada kalangan usahawan jalanan, Abdul Rahman berkata agensi itu menganjurkan pelbagai program termasuk pertandingan memasak di pasar malam dan pasar harian.

Selain diberi pendedahan mengenai Tekun, mereka yang mengambil bahagian juga berpeluang memenangi hadiah wang tunai, katanya menambah satu pertandingan sedemikian akan diadakan di Pasar Malam Kuala Kedah pada Khamis ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan