Salji Tiruan Tarik 10,000 Pengunjung 'Snowalk' Pada Hari Pertama

Diterbitkan: Ahad, 20 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Suasana di gerbang utama 'Snowalk'. Foto THE STAR Oleh IZRA ABD RAHMAN
Suasana di gerbang utama 'Snowalk'. Foto THE STAR Oleh IZRA ABD RAHMAN

SHAH ALAM: Teknologi dan inovasi dalam proses pembuatan salji tiruan telah menarik perhatian 10,000 pengunjung menikmati pengalaman bermain salji pada hari pertama pembukaan 'Snowalk' di sini, Sabtu.

Di buka di Pusat Komersial i-City yang popular dengan limpahan lampu berwarna-warni pada waktu malam pengunjung 'Snowalk' kini tidak perlu terbang ke luar negara semata-mata untuk merasai kesejukan di bawah takat beku.

"Fokus kami adalah inovasi dan mendapatkan syarikat-syarikat yang inovatif dalam usaha memajukan i-City memandangkan lokasi ini merupakan hab ilmu pengetahuan," kata Ketua Pegawai Eksekutif I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew kepada pemberita di sini.

Menurut Eu kejayaan i-City mencetuskan inovasi baru dalam penggunaan lampu LED untuk menarik pengunjung membuktikan penggunaan teknologi secara inovatif mampu mewujudkan persaingan kompetetif dalam industri pelancongan negara.

Katanya, mewujudkan 'Snowalk' merupakan satu lagi langkah yang telah dirancang bagi menampilkan kelainan kepada pengunjung menggunakan teknologi seiring perkembangan zaman.

"Merasai suasana sejuk dengan ukiran-ukiran ais bukan perkara baru di Malaysia. Di merata-rata tempat kita dapat lihat salji tiruan dengan pelbagai kesan khas.

"Tetapi adalah sesuatu yang unik jika tekstur salji yang hampir sama dengan salji semula jadi dapat ditawarkan kepada masyarakat di negara ini," katanya.

Hari pertama pembukaan 'Snowalk' yang juga jatuh pada musim cuti sekolah telah berjaya menarik perhatian seramai kira-kira 10,000 pengunjung yang terdiri daripada masyarakat tempatan dan pelancong luar negara.

Rata-rata pengunjung mahu melihat dan merasai salji yang dihasilkan oleh mesin khas dari syarikat pengeluar mesin salji terkemuka Korea, BarsKorea yang lebih ringan, halus dan lembut, 90 peratus menyamai salji semula jadi.

"Salji putih dan halus membolehkan mereka membuat bebola salji. Mereka juga boleh merasainya kerana salji yang ada dihasilkan menggunakan air tulin," katanya.

Dibina di kawasan seluas 4,645 meter persegi, 'Snowalk' sesuai dikunjungi setiap lapisan masyarakat yang ingin merasai kesejukan suhu di bawah lima darjah celsius.

Projek yang menelan belanja sebanyak RM10 juta itu juga membuka peluang kepada orang ramai melihat ukiran-ukiran ais beraneka bentuk hasil gabungan kepakaran pengukir dari China dan kemajuan teknologi yang mampu membuatkan ukiran mampu bertahan lama.

Eu, bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi percutian keluarga, i-City telah mengikat perjanjian dengan Nickelodeon selama 12 bukan dalam mempromosikan program-program yang diatur.

"Dalam masa yang sama akan ada tarikan lain yang telah dirancang untuk pengunjung i-City dan Snowalk. Kita akan lihat bagaimana ia dapat disesuaikan dengan program Nickelodean.

"Bagaimana pun, pendekatan teknologi dan inovatif untuk menjayakannya tetap akan diteruskan dari masa ke semasa," katanya.

Caj yang dikenakan untuk masuk ke 'Snowalk' ialah RM25 (dewasa) dan RM20 (kanak-kanak).

Setiap pengunjung boleh meminjam baju sejuk sebelum masuk ke laluan ini atau membawa pakaian sendiri.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan