Peranan Terakhir Taib Untuk Pastikan Kelancaran Peralihan Kepimpinan

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Isnin ini akan memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang ditunggu-tunggu dan merupakan yang terakhir bagi Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengetuai kempen pilihan raya.

Taib, 75, yang dikenali dengan panggilan hormat "Pehin Sri" di Sarawak, mengumumkan yang beliau akan berundur sebagai Ketua Menteri Sarawak pada pertengahan penggal baru untuk memastikan peralihan kepimpinan berjalan secara teratur dan lancar di negeri ini.

Taib, yang telah menerajui pentadbiran negeri selama hampir tiga dekad, berkata beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian dalam pilihan raya negeri akan datang dan akan menyerahkan jawatan kepada pengantinya pada pertengahan pengal.

Bercakap pada pelancaran program "Sejiwa Senada" Bahagian Kota Samarahan di Serian pagi ini, katanya: "Saya akan mengetuai pilihan raya bagi memastikan pemimpin baru dibimbing, yang boleh membentuk satu pasukan dan boleh bekerja untuk negara."

Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu yang telah menerajui negeri ini sejak 1981, berkata langkah beliau itu bagi memastikan usaha membangunkan Sarawak ke peringkat yang lebih tinggi dan membawa kehidupan yang lebih baik kepada rakyat diteruskan walaupun kepimpinan negeri bakal bertukar.

Ini bagi memastikan kualiti hidup rakyat Sarawak terus meningkat di bawah kepimpinan baru negeri akan datang, kata Taib.

"Ini cita-cita saya. Satu hari nanti saya akan pergi juga. Saya sudah tua dan saya tidak mahu cita-cita saya mati bersama saya," kata ahli politik berpengalaman keturunan Melanau itu.

Taib, anak kelahiran Miri, yang pernah memegang jawatan menteri di pelbagai kementerian peringkat persekutuan di Kuala Lumpur sejak 1970-an sebelum kembali ke Sarawak sebagai ketua menteri pada 1981 pada usia 45 tahun, berkata cita-cita beliau itu turut didukung oleh pemimpin-pemimpin negeri Sarawak yang seangkatan dengannya yang mahukan pemimpin-pemimpin baru nanti meningkatkan perkhidmatan mereka demi untuk memenuhi aspirasi rakyat.

Sementara itu pada sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Taib berkata: "Saya berhasrat untuk berundur sejak 2006 tetapi ia tidak tercapai. Saya menangguhkannya."

Dipercayai satu daripada pertimbangan utama bagi Taib untuk melepaskan jawatannya itu ialah mencari pengganti yang sesuai yang boleh menjamin kestabilan dan kekuatan BN dan kerajaan negeri akan berterusan.

Najib, yang menyatakan beliau dan Taib tahu masa yang tepat untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan di negeri itu berkata,"Kami berdua mempunyai persefahaman yang sangat baik bila masa yang sesuai untuk membuat pengumuman berhubung perkara itu.

"Apa yang penting ialah peralihan secara tersusun dan teratur dan Pehin Sri memerlukan sedikit masa untuk memastikan siapa penggantinya akan dapat ditentukan dalam keadaan di mana parti dan kerajaan akan terus stabil dan kuat dan tidak berlaku sesuatu pengolakan," katanya.

Perdana Menteri berkata sebab itu "kita mementingkan supaya Pehin Sri mengetuai pilhan raya negeri pada kali ini dan bila sampai pada masa yang sesuai Pehin Sri akan maklumkan kepada kita."

Terdahulu ketika berucap pada pelancaran program "Sejiwa Senada" di Serian, Najib berkata, "Saya tahu beliau (Taib) sudah bersedia. Bila tiba masanya, beliau bersedia beredar dari arena dan kami mempunyai persefahaman yang sangat baik mengenai bilakah ia akan berlaku."

Perdana Menteri juga berkata perubahan kepimpinan negeri bukanlah suatu perkara yang boleh didesak memandangkan peralihan yang lancar merupakan perkara paling utama.

"Janganlah desak tapi ikutlah tradisi yang baik dalam negara kita, yang penting peralihan kuasa yang tertib, tersusun supaya kepimpinan baru yang ambil alih nanti boleh membawa Sarawak kepada keadaan yang lebih baik lagi," kata Najib.

Menerusi peralihan kuasa yang lancar, beliau berkata kerajaan persekutuan akan dapat membantu Sarawak mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Katanya pendekatan ini, yang telah diterima oleh kalangan masyarakat Malaysia nyata bukan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang memandangkan mereka mengharapkan perubahan radikal menerusi demonstrasi jalanan atau rusuhan.

Najib berkata perubahan kepimpinan yang lebih disukai oleh Barisan Nasional mengambil kira kestabilan dan pembangunan yang berterusan.- BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan