Malaysia Harap Pihak Bertelagah Di Libya Cari Penyelesaian Secara Aman - Berita Semasa | mStar

Malaysia Harap Pihak Bertelagah Di Libya Cari Penyelesaian Secara Aman

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menyuarakan kebimbangan berhubung perkembangan di Libya dan berharap semua pihak yang terbabit dalam konflik itu supaya menghentikan persengketaan bersenjata dan mencari penyelesaian secara aman terhadap pertelingkahan mereka itu. Kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini menyebut dalam hubungan ini, Malaysia menyokong sebarang dialog dan inisiatif bagi mencari penyelesaian secara aman antara semua pihak yang terbabit di Libya.

Malaysia mengharapkan supaya dihentikan segera semua persengketaan dan keganasan bersenjata, yang menjejaskan keamanan serta keselamatan penduduk Libya selain rantau berkenaan secara keseluruhannya, kata kenyataan itu lagi.

Dalam usaha membantu melindungi orang awam, Malaysia mengambil perhatian Resolusi 1973 (2011) Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk mewujudkan larangan terhadap semua penerbangan di ruang udara Libya.

Zon larangan terbang itu diterima secara undian oleh Majlis Keselamatan PBB pada Khamis malam.

Kenyataan itu turut menyebut Malaysia menyambut baik pengumuman oleh Menteri Luar Libya Mussa Kussa berhubungan gencatan senjata serta-merta dalam pertempuran yang berlarutan selama sebulan menentang pemberontak yang berjuang untuk menggulingkan Presiden Muammar Gadaffi. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan