Kerajaan Cari kaedah Terbaik Bantu Pemaju Perumahan Jayakan Skim Rumah Pertamaku

Diterbitkan: Sabtu, 19 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TASEK GELUGOR: Kerajaan akan mencari kaedah terbaik untuk membantu pemaju perumahan bagi mengalakkan mereka membina lebih banyak rumah berharga di bawah RM220,000 supaya Skim Rumah Pertamaku berjaya mencapai matlamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata usaha itu juga bagi membolehkan lebih ramai rakyat negara ini terutama golongan muda memiliki rumah sendiri.

Katanya kerajaan menyedari terdapat kemungkinan pemaju lebih cenderung membina rumah berharga lebih tinggi daripada RM220,000 terutama di kawasan yang berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

"Kerajaan akan mencari kaedah untuk menolong pemaju membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat dan kita lihat rumah di beberapa negeri terutama di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang mahal ekoran tanah terhad sehingga menyebabkan premium tanahnya tinggi.

"Jadi kerajaan sedang mengadakan perbincangan dengan pihak pemaju bagi mencari jalan untuk mengalakkan mereka membina lebih banyak rumah berharga di bawah RM220,000," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan bantuan di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) kepada tiga penduduk di Parlimen Tasek Gelugor di sini, Sabtu.

Nor Mohamed berkata antara bantuan yang boleh diberikan kerajaan adalah menawarkan premium tanah dengan kadar yang rendah bagi membolehkan pemaju melaksanakan pembinaan projek perumahan yang harganya tidak melebihi RM220,000.

Katanya kerajaan memang komited dan akan memberi fokus utama kepada aspek perumahan dalam tempoh tiga tahun akan datang ini kerana menyedari ia mampu meningkatkan taraf hidup serta melahirkan modal insan berkualiti.

"Sekiranya rakyat tinggal di rumah milik mereka sendiri yang mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air, sudah tentu taraf hidup mereka dapat ditingkatkan begitu juga dengan pendidikan anak-anak," katanya.

Beliau berkata anak-anak juga dapat belajar dengan lebih selesa dan ini membolehkan mereka memperoleh keputusan cemerlang.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Skim Rumah Pertamaku yang membolehkan golongan muda berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan membuat pinjaman 100 peratus daripada 25 bank termasuk institusi kewangan Islam bagi membeli rumah berharga antara RM100,000 hingga RM220,000.

Skim itu membolehkan membolehkan pekerja swasta berusia 35 tahun ke bawah memohon pinjaman dengan tempoh maksimum pembiayaan 30 tahun.

Kerajaan melalui Cagamas Berhad juga akan menjamin bayaran pendahuluan atau deposit sebanyak 10 peratus, sebagai jaminan melindungi bank daripada kerugian. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan