Tiga Anggota Panel India Setuju Bekerjasama Selesai Isu Interlok, Kata Palanivel

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tiga anggota panel dari kaum India yang dilantik ke dalam panel bebas mengenai Interlok telah bersetuju bekerjasama menyelesaikan isu tersebut, kata Presiden MIC Datuk G. Palanivel Jumaat.

Katanya beliau telah bertemu dengan dua daripada mereka bersama-sama dengan Pegawai Khas Perdana Menteri Datuk Ravin Ponniah.

"Anggota panel dari kaum India telah meminta saya mengatur pertemuan khas dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran.

"Mereka juga memberitahu saya yang mereka telah mengenal pasti semua bahagian sensitif dalam novel itu dan akan membentangkannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Palanivel dalam satu kenyataan di sini.

Pada Rabu, Dr N.S. Rajendran, G. Krishnabahawan dan Uthaya Shankar SB dilapor menarik diri daripada panel itu kerana tidak berpuas hati desakan mereka mengenai 100 lagi pindaan dilakukan tidak diendah.

Pada Khamis, Muhyiddin dilapor berkata ketiga-tiga mereka yang juga wakil MIC masih anggota panel bebas terbabit yang bertujuan menyelesaikan kontroversi buku berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau dimaklumkan wujud salah faham, namun ketiga-tiga anggota panel itu telah dihubungi bagi meneruskan perbincangan berkenaan isu tersebut.

Palanivel yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata anggota panel terbabit hanya meluahkan perasaan kaum India.

"Bab mengenai Maniam dalam novel itu mengandungi penulisan yang menyentuh sensitiviti kaum India. Kementerian Pelajaran harus mengambil serius pandangan kami," katanya yang mahu isu Interlok diselesaikan segera.

Pada 27 Januari lepas, Muhyiddin mengumumkan novel Interlok akan terus digunakan sebagai komponen sastera untuk Bahasa Malaysia bagi Tingkatan Liam di Zon 2 yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.

Kerajaan bagaimanapun bersetuju pindaan dibuat pada bahagian yang dianggap sensitif bagi komuniti India. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan