Tabung Bencana Pandu Puteri-Maybank Bantu Rakyat Jepun Dilancar

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor melancarkan Tabung Bencana Pandu Puteri-Maybank bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun.

Tabung inisiatif Persatuan Pandu Puteri Malaysia dengan kerjasama Maybank dan akhbar The Star itu berjaya mencatat kutipan sebanyak RM200,000 sebaik dilancar melalui sumbangan Maybank dan YTL Corporation Berhad, masing-masing berjumlah RM100,000.

Selain menjalankan kutipan melalui ahli-ahli persatuan di sekolah-sekolah seluruh negara, orang ramai juga boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank Tabung Bencana Pandu Puteri-Maybank bernombor 564016-727672.

Dana tabung itu akan disalurkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Jepun melalui Kedutaan Jepun di Kuala Lumpur untuk membeli barangan keperluan rakyat di negara itu termasuk makanan dan ubat-ubatan.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia ketika berucap berkata langkah menubuhkan tabung tersebut sesuai dengan slogan dan falsafah persatuan iaitu "Selalu Sedia", "Memberi Khidmat" dan "Tolong Orang Selalu".

Beliau berharap melalui pelaksanaan usaha kemanusiaan seperti itu dapat memberi pendedahan kepada ahli-ahli persatuan dalam usaha-usaha kemanusiaan dan membina sikap kerjasama di dalam satu pasukan.

"Adalah menjadi harapan saya agar rakyat Malaysia menyertai kami dalam kempen amal ini. Kami harap sumbangan ini akan sedikit sebanyak dapat meringankan penderitaan mangsa-mangsa," katanya.

Rosmah berkata persatuan itu juga akan memohon kepada Kementerian Kewangan agar penderma diberikan pengecualian cukai, bagi menggalakkan lebih banyak sektor korporat menghulurkan bantuan.

Duta Besar Jepun ke Malaysia Masahiko Horie yang turut hadir pada majlis itu berkata beliau berterima kasih atas segala simpati, takzim dan galakan yang diberikan kepada rakyat Jepun, termasuk langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan usul membincangkan perkara itu di Dewan Rakyat serta langkah menubuhkan tabung bagi membantu rakyat negara itu.

Katanya walaupun keadaan yang sukar, dengan masalah kekurangan bekalan makanan, cuaca yang sejuk dan bersalji serta masalah logistik dalam mengedarkan barang-barang keperluan, rakyat Jepun perlu melakukan yang terbaik dalam usaha untuk meneruskan kehidupan dan bangkit semula selepas kejadian buruk itu.

"Saya ingin melakarkan rasa penghargaan kepada Persatuan Pandu Puteri Malaysia kerana tampil dengan bantuan untuk rakyat Jepun pada waktu yang sukar ini.

"Saya percaya rakyat Jepun akan kembali bangkit mengharungi cabaran ini. Kami telah mengalami pelbagai malapetaka pada masa lalu dan saya percaya kami akan bangkit dalam kesukaran ini disokong oleh persahabatan yang tak ternilai dari Persatuan Pandu Puteri Malaysia," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan