Sijil Kelahiran Berbeza Bukan Warga Negara Diperkenal 1 Julai

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan format sijil kelahiran yang berbeza antara warga negara dan bukan warga negara berkuatkuasa 1 Julai ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata dalam satu kenyataan di sini hari ini bahawa inisiatif yang akan dilaksanakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara itu melibatkan perbezaan beberapa ciri format, termasuk warna sijil.

Sebagai permulaan, katanya, JPN akan mengeluarkan sijil kelahiran berwarna merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warga negara.

Pada masa ini, semua sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh JPN berwarna hijau tanpa mengira taraf kewarganegaraan kanak-kanak itu.

"Taraf kewarganegaraan kanak-kanak ditentukan berdasarkan kepada taraf kewarganegaraan ibubapa semasa kelahiran tersebut berlaku," katanya.

Hishammuddin berkata itu merupakan satu daripada 22 syor dan inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah, di mana laporannya telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin kali kelima pada Khamis.

Beliau berkata sijil kelahiran yang berbeza warna antara warga negara dan bukan warga negara bertujuan mengelak ibubapa warga asing yang mendapat anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki Sijil Kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warga negara Malaysia.

Ia juga memberikan makluman awal kepada ibubapa akan status kewarganegaraan anak yang dilahirkan, mengelak sebarang kekeliruan kepada orang ramai dalam hal mengenai pasti taraf kewarganegaraan kanak-kanak, serta memudahkan agensi-agensi lain untuk mengenal pasti taraf kewarganegaraan seseorang yang berurusan di agensi masing-masing.

Bagi kanak-kanak bertaraf bukan warga negara yang telah memiliki sijil kelahiran berwarna hijau, ianya dikekalkan dan hanya berubah apabila pemohon membuat Cabutan Sijil Kelahiran di mana-mana pejabat JPN.

Bagi kanak-kanak yang dilahirkan sebagai bukan warga negara dan kemudiannya disahkan sebagai warga negara Malaysia melalui proses Pengesahan Taraf Kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan, sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan akan ditukar dengan sijil kelahiran berwarna hijau, dengan dicatatkan indikator yang menunjukkan perubahan status kewarganegaraan itu.

"Sungguhpun cadangan-cadangan ini dikemukakan oleh Makmal Khas Sabah, inisiatif ini akan dilaksanakan di seluruh negara," kata Hishammuddin.

Beliau berkata syor dan inisiatif dari Makmal Khas Sabah itu, yang berlangsung di negeri itu dari 4 hingga 27 Mei tahun lepas, adalah sebagai tambahan kepada 48 syor dan inisiatif yang telah dicadangkan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing peringkat nasional.

Katanya pelaksanaan makmal khas itu, yang dianggotai 27 pegawai dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri berkaitan di Sabah, memperlihatkan kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam menangani isu warga asing khususnya PATI, yang telah berlarutan sekian lama di Sabah dan merupakan isu yang amat dekat dengan rakyat Sabah. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan