Palanivel Mahu Bawa Masyarakat India Ke Era Gemilang

Diterbitkan: Jumaat, 18 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk G. Palanivel melangkah ke hari 100 beliau sebagai Presiden MIC hari ini dengan membuktikan kesungguhan beliau untuk menjadi pemimpin berjiwa rakyat dalam membawa masyarakat India menuju ke satu era gemilang secepat yang boleh.

Walaupun destinasinya masih jauh, tokoh-tokoh parti yakin Palanivel akan dapat mewajarkan gelaran "Datuk GP" kepadanya dengan memandu masyarakat India dengan pantas untuk mencapai kejayaan.

Malah, Datuk GP sudahpun mencipta rekod dalam masa yang singkat sejak beliau melangkah masuk ke perlumbaan mengejar masa ini.

Kenapa perlu mengejar masa?

Palanivel memberitahu satu mesyuarat dengan NGO kaum India baru-baru ini bahawa kumpulan dalam masyarakat itu yang mengharapkan bantuan semakin bertambah dan ini adalah sesuatu yang membimbangkan. "Kita perlu bertindak pantas menyediakan peluang supaya mereka dapat berdikari dan lebih berdaya saing. Mereka perlu dibantu, jangan biarkan mereka menjadi beban kepada diri sendiri dan masyarakat."

"Ya, kita akan mencapainya," kata seorang anggota parti sambil menyebut Pusat Perkhidmatan MIC yang baru dibuka di ibu pejabat parti itu, sebagai contoh.

Beroperasi seperti pusat perkhidmatan beliau semasa menjadi Timbalan Menteri dalam pentadbiran kerajaan terdahulu yang mengendalikan ribuan kes, Pusat Perkhidmatan MIC tiada tolok bandingnya daripada segi struktur organisasi, skop operasi, ketelusan dan tujuan yang jelas.

Terletak di aras bawah, pusat itu mempunyai kerusi yang teratur kemas di mana sukarelawan parti bertemu dengan rakyat yang berdepan masalah seperti keperluan rumah, sijil kelahiran dan kewarganegaraan, pengeluaran KWSP dan Socso, khidmat nasihat pendidikan, pembiayaan dan pelbagai keperluan sosial.

Bagi setiap kes, data individu dikumpul, masalah dikenal pasti dan tindakan susulan diambil sehingga penyelesaian dicapai.

Bukan itu saja. Di satu lagi sudut di dewan itu, pegawai dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan jabatan kerajaan yang lain, turut menyediakan khidmat nasihat dan penyelesaian. Mereka berada di situ setiap Ahad, yang merupakan hari rehat bagi mereka.

Pusat serupa juga beroperasi di Seremban, Ipoh dan Pulau Pinang.

Memandangkan ia diperkenalkan oleh Palnivel, pusat-pusat itu bergerak dengan lancar, walaupun sekali sekala berlaku masalah kecil.

Pemimpin-pemimpin Wanita MIC dan Pemuda MIC, adalah tulang belakang pusat-pusat perkhidmatan ini, dan mereka ini mengorbankan cuti hujung minggu masing-masing.

Palanivel juga telah mengambil alih Yayasan Strategik Sosial dan sedang merombaknya untuk menganjurkan program untuk kepentingan rakyat.

Jika adapun kekurangan pada Palanivel ianya adalah sifat beliau yang enggan menonjol diri dalam media, walaupun latar belakang beliau adalah dalam bidang kewartawanan.

Anggota-anggota parti yang sudah biasa dengan cara beliau bekerja berkata Palanivel memegang kepada pendekatan berkongsi tanggungjawab dan menurunkan kuasa kepada pemimpin kanan parti serta kepada petugas akar umbi supaya mereka ini dapat membuktikan daya kepimpinan masing-masing.

Pendirian beliau ialah kuasa dan tanggungjawab parti terletak pada pasukan kepimpinan dan bukannya kepada presiden parti seorang.

Walaupun Palanivel tidak suka publisiti ("rekod saya sudah cukup menjadi bukti", katanya), pengaruh dan kuasanya dalam parti amat kukuh.

"Beliau mengadakan mesyuarat bulanan dengan pengerusi MIC negeri, menganjurkan sesi sumbang saran dengan anggota parti dan bukan anggota parti, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama, menemui golongan profesional muda dan pemimpin NGO, dan sentiasa berbincang dengan semua lapisan masyarakat India.

Data dan cadangan daripada semua mesyuarat dan perbincangan ini dikumpul mengikut kategori dan dikaji untuk menghasilkan satu rangka kerja jangka panjang bagi parti.

Untuk membantu beliau dalam tugas ini, Presiden MIC itu mengumpulkan ramai cerdik pandai dan teknokrat muda selain petugas parti yang dilatih untuk bertindak dengan pantas.

Palanivel mendapat pujian kerana membawa kembali pemimpin seperti S.Murugesan sebagai setiausaha agung parti dan menerima semula veteran parti, Barat Maniam, sebagai anggota.

Antara pencapaian ketara beliau dalam tempoh 100 hari sebagai Presiden MIC ialah memastikan undi kaum India kembali kepada Barisan Nasional dalam beberapa pilihan raya kecil.

Satu lagi projek yang beliau gerakkan, Program Membina Masyarakat, yang memberi tumpuan kepada pendidikan awal, mendapat sokongan Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan di Pejabat Perdana Menteri manakala program dipanggil "Teach Malaysia" bagi meningkatkan pencapaian pelajar sekolah rendah dan menengah sedang diusahakan.

Dalam satu pertemuan dengan wartawan daripada media berbahasa Tamil baru-baru ini, Palanivel berkata beliau berharap MIC akan menjadi satu badan yang dapat menjalankan kajian dan menggubal dasar, dan tidak hanya sebagai satu saluran menyediakan perkhidmatan.

Beliau juga mahu anggota masyarakat India yang berjaya tanpa bantuan kerajaan supaya berkongsi pengalaman untuk mendorong pihak lain.

Palanivel mungkin mahu mencapai misinya dengan pantas tetapi beliau harus akui bahawa jalan yang dilalui penuh berliku.

Namun, beliau merupakan seorang yang bertenaga dan mempunyai sifat yang tepat dalam menghadapi pelbagai cabaran dalam menjadikan masyarakat India sebuah yang inklusif, padu dan berdaya maju dalam sebuah negara Malaysia yang bersatu.

Mengenai rancangannya untuk MIC, Palanivel berkata pelan jangka panjang adalah memperhalusi objektif agar ia terus relevan kepada anggotanya, kepada Barisan Nasional dan kepada negara. -BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan