Jadikan Tragedi Di Jepun Sebagai Iktibar - Wakil Rakyat

Diterbitkan: Khamis, 17 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Beberapa anggota Parlimen berpendapat bahawa malapetaka berganda di Jepun yang bermula dengan tragedi gempa bumi dan tsunami pada Jumaat lepas, wajar dijadikan pengajaran dan diambil sebagai iktibar oleh negara-negara lain dalam pelbagai aspek.

Datuk Dr S.Subramaniam (BN-Segamat) ketika membahaskan usul untuk melahirkan rasa simpati dan takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun atas tragedi itu di Dewan Rakyat berkata, berdasarkan tragedi di Jepun itu, negara-negara lain wajar lebih berhati-hati dan tidak memandang rendah kuasa alam semulajadi dalam pembangunan negara.

Katanya walaupun Jepun terkenal sebagai negara yang mempunyai teknologi tinggi dan mempunyai pelbagai persediaan untuk menghadapi gempa bumi, namun kini tetap berhadapan pelbagai kemusnahan termasuk pencemaran radiasi dan penyakit berjangkit akibat reaktor nuklear yang meletup dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini.

"Tetapi apa yang berlaku kini persediaan tersebut tetap tidak mampu menyerap dan membantu kerosakan yang berlaku pada reaktor nuklear disebabkan bencana gempa bumi," kata Menteri Sumber Manusia itu yang menyokong usaha kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Jepun.

Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) pula berkata masyarakat dunia perlu mencontohi sikap tenang dan teratur rakyat Jepun dalam menghadapi malapetaka yang datang silih berganti yang bermula dari gempa bumi, tsunami dan kini radiasi daripada loji nuklear.

"Dalam keadaan yang gamat ini mereka tetap tenang dan tidak kelam kabut, menyerahkan diri kepada keadaan, tetapi dalam masa sama tetap menonjolkan akhlak yang terbaik.

"Tidak wujud keadaan hiruk pikuk, malah mereka dengan penuh sabar beratur dengan tertib ketika mahu mengambil makanan walaupun dalam keadaan kritikal seperti sekarang, inilah sikap yang masyarakat kita terutama umat Islam perlu teladani dan contohi," katanya.

Beliau pada masa sama turut meminta masyarakat tidak membuat andaian keterlaluan terhadap penggunaan tenaga nuklear memandangkan ia mampu memberi faedah yang baik kepada masyarakat pada masa hadapan.

"Walaupun telah berlaku kemusnahan besar akibat kebocoran nuklear seperti di Chernobyl dan di Jepun tetapi perlu pandang ia (tenaga nuklear) dari sudut positif) kerana fungsinya sebagai tenaga alternatif tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Tian Chua (PKR-Batu) pula mahu kerajaan mencontohi pentadbiran kerajaan Jepun yang cekap dan teratur dalam menghadapi situasi genting sehingga mampu menguruskan negara dalam situasi yang tenang. "Saya rasa kerajaan perlu meneruskan dasar pandang ke Timur (Jepun) bukan setakat pada teknologi yang dimiliki tetapi kawalan kualiti dalam menguruskan pentadbiran yang diamalkan oleh kerajaan Jepun," katanya.

Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) pula menyatakan kemudahan Teknologi Maklumat (IT) seperti dilihat memainkan peranan penting dalam memberi maklumat situasi terkini kepada orang ramai terhadap apa yang berlaku di Jepun.

Bagaimanapun katanya ia tetap perlu pemantauan daripada pihak bertanggungjawab agar tiada khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang disebarkan kepada orang ramai sehingga boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih kelam-kabut.

Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bebas-Bayan Baru) pula meminta kerajaan mengkaji semula polisi yang membenarkan pembinaan loji nuklear bagi menjana tenaga elektrik berikutan kesan buruk yang bakal diterima sekiranya berlaku bencana alam seperti gempa bumi.

"Kalau boleh kita tolak ke tepi tenaga nuklear ini, biarlah ia menjadi pilihan terakhir dan menggunakan tenaga yang lebih mesra alam," katanya.

Menyampaikan ucapan dalam bahasa Jepun, Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata beliau diberikan inspirasi menerusi ketabahan dan perpaduan rakyat Jepun dalam masa sedih itu.

"Saya percaya dengan kekuatan dan kebijaksanaan jelas kelihatan bahawa rakyat Jepun akan dapat mengatasi masa kesukaran ini. Adalah harapan saya bahawa keadaan seperti biasa akan kembali ke Jepun secepat mungkin," kata beliau yang pernah melanjutkan pelajaran di Jepun. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan