1Malaysia Jadi Simbol Perpaduan Dan Partotisme - Najib

Diterbitkan: Khamis, 17 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Konsep 1Malaysia, yang dilancarkan hampir dua tahun lepas, kini telah menjadi simbol dan sebutan yang menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata sejak pelancaran konsep itu sebaik beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, penerimaan rakyat terhadapnya amat memberangsangkan.

"Kini sama ada di kota mahu pun di desa, malah di luar negara sekalipun laungan 1Malaysia tidak lekang dari bibir rakyat Malaysia di setiap majlis dan aktiviti masyarakat," katanya semasa menjawab soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim/Bandar Baru) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai.

Najib berkata bagaimanapun terdapat pihak tertentu yang hanya memikirkan kepentingan politik mereka dengan sentiasa mencari jalan untuk memutarbelitkan fakta berhubung konsep 1Malaysia, bagi mewujudkan modal politik yang boleh mereka perdagangkan.

Perdana Menteri berkata walaupun diterangkan beribu kali dan jelas mendapat sokongan padu sebilangan besar rakyat negara ini, namun sentiasa berlaku percubaan pihak tertentu yang mencari muslihat untuk menimbulkan penafsiran yang berbeza lagi mengelirukan mengenai konsep itu.

"Golongan ini sebenarnya tidak perlu dipedulikan. Yang jelas, hari ini sebilangan besar rakyat Malaysia tertarik dan menerima 1Malaysia sebagai satu konsep yang mengeratkan talian muhibah di kalangan semua kaum selain menyemarakkan semangat cinta kepada negara dan inilah matlamat utama konsep ini diperkenalkan," kata Najib.

Beliau berkata pada peringkat awal terdapat pihak tertentu yang cuba memanipulasikan konsep ini bagi mewujudkan polemik demi kepentingan politik mereka.

"Namun begitu, dengan penjelasan yang terperinci di pelbagai peringkat, penerimaan yang amat baik jelas kelihatan di kalangan rakyat," katanya.

Menjawab soalan tambahan Zulkifli yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat penjenamaan semula kepada konsep 1Malaysia dengan slogan "Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan", Najib berkata konsep itu perlu terus diberikan penjelasan yang lebih terperinci.

"Saya anggap walaupun kita telah banyak memberi penjelasan dan peningkatan (kefahaman) pun semakin ketara tetapi penjelasan demi penjelasan perlu diberikan supaya kita sampai satu peringkat di mana kefahaman terhadap gagasan 1Malaysia ini dapat difahami sepenuhnya," katanya.

Menjawap soalan tambahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau), Najib berkata pemahaman konsep 1Malaysia bukan hanya membawa pengertian 1Malaysia.

Ia perlu dihubungkaitkan dengan konsep 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" sebagai satu landasan prinsip yang boleh membawa kepada kekuatan yang lebih besar kepada negara, yang mana dapat menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya gagasan 1Malaysia diciplak daripada konsep One Israel.

"Orang yang bertanggungjawab tentang konsep One Israel pun kata bahawa ini tidak ada kaitan sama sekali dengan apa yang berlaku di Malaysia tetapi apabila pihak tertentu melihat bahawa konsep 1Malaysia ini satu ancaman politik kepada mereka sebenarnya...itu sebab mereka menentang," katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Najib berkata masalah perkauman di negara ini dapat dikurangkan apabila negara mempunyai gagasan 1Malaysia. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan