Najib Akan Ambil Langkah Terbaik Selesai Isu Injil - George Chan

Diterbitkan: Selasa, 15 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr George Chan yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melaksanakan langkah terbaik untuk menyelesaikan kekecohan berkaitan isu Injil sekarang, yang menyaksikan 30,000 naskhah kitab berbahasa Malaysia itu ditahan di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini.

Dr Chan, yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata oleh itu, kerajaan negeri tidak mempunyai perancangan segera untuk menjadi pengantara bagi pihak komuniti Kristian berikutan langkah Kementerian Dalam Negeri menahan Injil itu.

"Saya yakin Perdana Menteri dan Timbalannya (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan mengambil langkah terbaik. Saya tidak ragu-ragu bahawa mereka akan melaksanakan yang terbaik secepat mungkin," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Sidang media itu diadakan untuk menghebahkan mengenai Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak 2009-2010 anjuran Kementerian Pelancongan dan Warisan Negeri yang akan diadakan di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) Oktober ini.

Dr Chan berkata beliau tidak memahami rasional di sebalik langkah itu memandangkan Injil dalam versi Bahasia Malaysia masih boleh digunakan di Sarawak.

"Kami tidak pernah berdepan sebarang masalah di sini," katanya, sambil menambah penduduk Sarawak sentiasa mengamalkan konsep 1Malaysia yang menganjurkan toleransi agama dan kaum.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata wabak taun di Kampung Buang Abai, Limbang berjaya dibendung selepas 111 kes dilaporkan pada 6 Mac.

Dua kes serius telah dirujuk ke Hospital Miri tetapi tiada kematian dilaporkan akibat wabak berkenaan, yang dipercayai bermula daripada kenduri kahwin di sebuah kampung.

Sebagai sebahagian daripada usaha membendung wabak itu daripada merebak ke bahagian lain di Limbang, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Kesihatan negeri mengadakan kempen pengesanan secara aktif dari rumah ke rumah untuk memastikan tiada pembawa taun positif.

Jabatan itu masih belum dapat mengenal pasti sama ada wabak itu berpunca daripada penyaji pada majlis resepsi perkahwinan itu atau anggota keluarga pasangan pengantin, katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan