Penerapan Pengurusan Nilai Sangat Penting - Najib

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kajian yang dijalankan pada 2009 berkaitan impak pelaksanaan Pengurusan Nilai di Malaysia memperlihatkan bahawa projek pembinaan di negara ini yang menerapkan konsep itu telah mencatatkan penjimatan dalam kos projek permulaan sebanyak antara 10 dan 30 peratus, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata bagaimanapun, industri di negara ini, termasuk sektor swasta, tidak pantas menerima konsep itu secara menyeluruh dan menginstitusikannya ke dalam sistem.

"Ini perlu berubah supaya pembangunan fizikal negara selari dengan rancangan transformasi kerajaan," kata beliau dalam blog 1Malaysia hari ini.

Najib berkata di kebanyakan negara, penerapan nilai pengurusan sudah menjadi sepadu dalam industri pembinaan, sambil menambah dalam pengertian paling mudah, pengurusan nilai adalah satu proses untuk mendapatkan pulangan maksimum bagi sesuatu projek daripada kos yang dikawal dengan baik.

"Dalam hal ini, pulangan bukan sekadar kewangan, malah juga fungsi atau manfaat projek kepada pengguna akhir, juga kepada kualiti dan kesinambungan projek tersebut. Pengurusan nilai cuba mencari imbangan optimum faktor-faktor ini," katanya.

Sebagai contoh, kata Najib, pembinaan jalan raya berturap, dengan menerapkan analisis pengurusan nilai, dapat memastikan sebatang jalan dalam kawasan lalu lintas rendah tidak memerlukan banyak peneguhan seperti mana jalan yang dibina dalam zon lalu lintas tinggi.

"Oleh sebab itu, kos satu kilometer jalan berturap dalam kawasan lalu lintas rendah boleh dikurangkan. Dalam perkataan lain, satu ukuran tidak boleh menepati untuk semua. Salah satu bidang yang boleh menerapkan pengurusan nilai secepat mungkin ialah pembinaan bangunan sekolah," katanya.

Najib berkata dalam lawatan beliau ke Turki baru-baru ini, beliau melawat salah satu projek pembinaan infrastruktur terbesar di dunia Terowong Kereta Api Marmaray dan Sistem Transit Massa Kereta Api Komuter.

Beliau berkata dalam melaksanakan projek itu, proses pengurusan nilai begitu penting untuk memastikan setiap jumlah pembiayaan menghasilkan nilai jangka panjang semaksimum mungkin bagi negara dan rakyat.

"Hakikatnya, saya berharap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan mengkaji pelaksanaan pengurusan nilai projek ini dan menerapkannya dalam projek di dalam negara," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau telah pun menekankan bahawa semua projek untuk pembangunan awam yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh hendaklah didahului dengan pelaksanaan pengurusan nilai yang menyeluruh.

Najib berkata ini mesti dilakukan sebelum proses tender lagi secara spesifiknya seawal tahap perancangan lagi supaya kerajaan, bersama-sama dengan sektor swasta, berbelanja dengan berhemah dan projek dapat memberi nilai pulangan semaksimum yang boleh.

"Tidak lama lagi, pelaksanaan proses pengurusan nilai bagi semua projek berkaitan pembinaan akan menjadi satu amalan standard di semua kementerian, dan dengan itu memastikan bahawa setiap Ringgit daripada Rakyat digunakan dengan sebaik-baiknya," katanya. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan