Kementerian Pelancongan Tidak Boleh Paksa Matta Bayar Ganti Rugi

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan tidak boleh memaksa atau mengarahkan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memulangkan deposit kepada pembeli pakej pelancongan yang ditipu syarikat pelancongan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, tiada peraturan khusus yang membolehkan kementerian berbuat demikian dan bagaimanapun telah mengambil inisiatif memanggil kedua-dua pihak yang bertelingkah untuk menyelesaikan masalah terbabit secara rundingan.

"Sebagai contoh pada tahun lepas, kementerian telah menyelesaikan sebanyak 152 daripada 192 aduan yang diterima melibatkan penipuan di kalangan agensi pelancongan kepada pelancong asing dan tempatan.

"Satu aduan diterima melibatkan pakej pelancongan yang dijual pada pameran MATTA oleh syarikat pelancongan tetapi pelanggan yang membeli tidak mendapat apa yang telah dijanjikan. Bagaimanapun kes ini telah di selesaikan," katanya dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Wee ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk mengeluarkan peraturan memaksa MATTA menyediakan tabung pampasan bagi membayar semula kepada pembeli yang membuat bayaran pendahuluan untuk tiket penerbangan dan pakej pelancongan pada pameran Matta.

Pembeli juga dinasihatkan agar membawa kes ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, Mahkamah Sivil atau membuat laporan polis jika terdapat unsur-unsur penipuan, kata Dr Ng. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan