12 Kes Saman Felda Sudah Diselesaikan - Ahmad Maslan

Diterbitkan: Isnin, 14 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12 daripada 18 kes saman terhadap Felda sehingga bulan lepas sudah diselesaikan dan diputuskan oleh mahkamah, demikian persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata, daripada 12 kes itu, hanya satu kes iaitu tuntutan peneroka Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, Kelantan, yang tidak memihak kepada Felda.

Katanya, kes Felda Kemahang 3 berhubung tuntutan penggredan jualan sawit berjumlah RM11.3 juta telah dilunaskan kepada peneroka yang terbabit.

"Keputusan mahkamah tidak memihak kepada Felda disebabkan masalah teknikal pada hari perbicaraan, peguambela Felda tidak hadir," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) pada persidangan Dewan Rakyat.

Kamaruddin mahu Perdana Menteri menyatakan jumlah kes-kes saman di mahkamah oleh peneroka terhadap Felda dan keputusan mahkamah serta implikasi kewangannya kepada agensi itu.

Ahmad berkata, terdapat enam kes yang masih belum selesai perbicaraan iaitu dua kes mengenai tuntutan terhadap kadar perahan minyak dan dua kes mengenai tuntutan pulangan wang tabung tanam semula.

"Seterusnya, masing-masing satu kes mengenai tuntutan deklarasi proses tender dan permintaan harga di dalam tender bagi penebangan kayu-kayu getah peneroka dan tuntutan penyingkiran peneroka," katanya.

Beliau berkata, anggaran nilai tuntutan bagi kesemua kes yang belum selesai perbicaraan berjumlah RM90 juta.

"Ini adalah anggaran jika Felda kalah, namun, Felda sentiasa berusaha supaya menang dalam semua kes berkaitan yang difailkan di mahkamah," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan