Pengajian Perubatan: KPT Akan Bincang Dengan Kementerian Kesihatan

Diterbitkan: Jumaat, 11 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung keputusan untuk memberi kebebasan kepada pelajar yang mahu mengikuti pengajian dalam bidang perubatan memilih mana-mana universiti di seluruh dunia.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, memandangkan perkara berkenaan masih diperingkat cadangan, perbincangan secara mendalam mengenainya akan dilakukan bagi mengenalpasti mekanisme pelaksanaannya.

"Perkara itu adalah cadangan Kementerian Kesihatan, jadi kita perlu kaji dan bincang dahulu mengenainya," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Jumaat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Khamis berkata, salah satu pindaan yang akan dibuat pada Akta Perubatan 1971 ialah bagi memansuhkan Jadual Kedua yang menyenaraikan kesemua 375 institusi pengajian perubatan di 34 negara yang sudah mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia.

Melalui pendekatan baru itu, pelajar boleh mengikuti pengajian perubatan di mana-mana institusi pilihan mereka di luar negara dengan syarat memperoleh 'No Objection Certificate' (Sijil Tanpa Bantahan) daripada KPT.

Selain itu, selepas tamat pengajian, pelajar-pelajar berkenaan perlu menduduki Peperiksaan Pelesenan bagi memastikan kebolehan mereka berfungsi sebagai doktor yang berkualiti dan berwibawa sebagaimana yang diperlukan oleh negara.

Menurut Khaled, tujuan kerajaan melakukan pindaan tersebut adalah kerana pada masa hadapan, adalah sukar untuk kerajaan membuat pemeriksaan ke atas setiap universiti di seluruh dunia yang menawarkan kursus perubatan.

Oleh yang demikian tanggungjawab untuk memastikan universiti yang menawarkan kursus perubatan itu bagus atau tidak terletak di bahu para pelajar.

Ini kerana akhirnya apabila pulang untuk berkhidmat sebagai doktor mereka akan tetap perlu melalui satu lagi proses ujian sebagaimana yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum boleh mendaftar sebagai doktor perubatan bertauliah dengan Majlis Perubatan Malaysia.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan