Teraju Anjur Makmal Berhubung Penyertaan Bumiputera - Berita Semasa | mStar

Teraju Anjur Makmal Berhubung Penyertaan Bumiputera

Diterbitkan: Rabu, 9 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), yang baru ditubuhkan akan menganjurkan satu siri makmal yang memberikan tumpuan kepada usaha mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam Projek Penggerak Ekonomi (EPP) Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Ketua Pegawai Eksekutifnya, Husni Salleh berkata, makmal itu yang akan diadakan pada 21 Mac di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama 10 hari akan turut melibatkan lebih 150 wakil Bumiputera dari sektor awam dan swasta yang berkaitan dengan sembilan sektor NKEA.

Sektor-sektor itu ialah kelapa sawit, minyak dan gas, pendidikan, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, kandungan komunikasi dan media, 'Greater Kuala Lumpur', pertanian dan perkhidmatan perniagaan.

"Makmal-makmal ini bertujuan untuk membolehkan para peserta memberikan hasil pandangan dengan cepat, dan pada masa yang sama memangkin keupayaan dalaman serta membantu mengenal pasti bakat tersembunyi di kalangan peserta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Teraju dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pada 8 Februari lalu. Matlamatnya ialah untuk membimbing, menyelaras dan menggalakkan penyertaan ekonomi Bumiputera melalui inisiatif sedia ada dan baharu, serta mencadangkan reformasi institusi yang bertujuan meningkatkan keberkesanan inisiatif-inisiatif ini.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan