Hasrat Kerajaan Martabatkan Bahasa Melayu Hampir Tercapai

Diterbitkan: Selasa, 8 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pemidato Amerika Syarikat, Kimberly Twarog (dua, kiri) tertarik melihat pakaian tradisional pemidato Rusia, Daria Komyshnikova yang dipakai ketika pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa. Turut tertarik dengan pakaian yang dinamakan Sarafan itu, peserta dari China(paling kiri), peserta dari Perancis (paling kanan) dan peserta dari United Kingdom (dua, kanan).
Pemidato Amerika Syarikat, Kimberly Twarog (dua, kiri) tertarik melihat pakaian tradisional pemidato Rusia, Daria Komyshnikova yang dipakai ketika pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa. Turut tertarik dengan pakaian yang dinamakan Sarafan itu, peserta dari China(paling kiri), peserta dari Perancis (paling kanan) dan peserta dari United Kingdom (dua, kanan).

PUTRAJAYA: Hasrat kerajaan untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat bahasa Melayu di peringkat antarabangsa hampir tercapai apabila setiap peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 berjaya menyampaikan pidato masing-masing dengan fasih berserta isi kandungan yang bernas.

Pada tahun ini, PABM yang masuk tahun kelima penganjurannya turut menunjukkan peningkatan dari segi penyertaan negara yang bertanding iaitu 56 berbanding 51 negara pada 2010.

Pertandingan peringkat saringan yang telah selesai berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menyaksikan 49 peserta dari serata dunia berentap menyampaikan hujah-hujah bernas mereka tentang budaya dan kehidupan di Asia dalam bahasa Melayu.

Peserta dari Rusia, Daria Kamyshnikova, 19, merupakan salah seorang pemidato yang berjaya menarik perhatian audiens dengan kepetahannya berpidato dalam bahasa Melayu.

"Saya tertarik dengan kehidupan di Asia dan memilih untuk belajar bahasa Melayu dengan lebih mendalam," kata penuntut Moscow State University ini kepada mStar Online.

Daria yang tampil dengan pakaian tradisional lengkap Rusia yang dikenali sebagai 'Sarafan' bersama penutup kepala 'Kokoshnik' berjaya mendapat tepukan gemuruh daripada penonton dengan pidatonya yang bertajuk 'Generasi Muda Hari Ini Penentu Hari Esok'.

Menurut Daria, dia mempelajari bahasa Melayu sejak berusia 17 tahun dan mendapati bahasa ini unik kerana ia turut boleh diguna pakai di negara lain seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

"Selain belajar bahasa, saya juga belajar tentang sejarah, sastera dan ekonomi Malaysia.

"Walaupun agak sukar saya tetap meneruskan pengajian kerana minat yang mendalam terhadap bahasa dan kepelbagaian budaya di Malaysia," katanya.

Jika sebelum ini dia hanya membaca buku Hikayat Hang Tuah, menonton filem P.Ramlee dan mendengar lagu-lagu dendangan penyanyi Tomok serta kumpulan Kopratasa, Daria berasa teruja kerana PABM membolehkan dirinya menjejakkan kaki ke negara kelahiran Hang Tuah dan P.Ramlee.

"Ini kali pertama saya ke sini. Malaysia sangat 'berwarna-warni' dengan pelbagai makanan, budaya dan dipenuhi dengan keindahan di sana-sini," katanya yang menggemari makanan masyarakat Malaysia, sate.

Mengulas tentang peluangnya untuk menang, dia yang mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkan dan menghafal teks pidato ini berkata:

"Semuanya bergantung kepada nasib, tetapi saya telah mencuba sehabis baik."

Wakil China Peminat Budaya Melayu

Wakil dari China, Guo Zi Tong, 20, yang menyampaikan pidato bertajuk 'Toleransi Antarabangsa Pemangkin Keamanan Dunia' turut menerima tepukan gemuruh ketika berpidato di pentas.

"Saya adalah peminat bahasa dan budaya Melayu. Segalanya bermula apabila saya berkunjung ke Pulau Redang buat kali pertama dan mendapati pantainya cukup indah," katanya.

Zi Tong yang turut mempunyai nama Melayu iaitu Zahara berkata dia seolah-olah 'jatuh cinta' dengan cara hidup masyarakat di Malaysia yang disifatkan sebagai bersederhana dan sentiasa mesra.

"Semua rakyat Malaysia mesra, baik hati dan suka tolong-menolong.

"Malah, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak pun cukup peramah apabila beliau melawat ke universiti tempat saya belajar, tidak lama dulu," kata penuntut Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing di Beijing ini.

Zahara yang mengenakan pakaian tradisional dari zaman Dinasti Tang untuk pertandingan ini berkata kemenangan bukanlah perkara utama bagi dirinya tetapi lebih kepada menimba pengalaman.

Bahasa Melayu Untuk Cari Rezeki

Pemidato dari Perancis, Florian Sarbonu, 22, berkata impian untuk mencari rezeki di mana-mana negara Asia membuatkan dia nekad mempelajari Bahasa Indonesia dan kebudayaan Melayu.

Menurut Florian, sebelum ini dia pernah mempelajari bahasa Cina dan Korea tetapi terhenti di separuh jalan.

"Kemudian saya cuba belajar Bahasa Indonesia dan mendapati ia tidak terlalu susah dipelajari asalkan kita mempunyai motivasi yang tinggi.

"Saya juga mendapati tidak banyak perbezaan di antara Bahasa Indonesia dan Bahasa Melayu kerana masyarakatnya serumpun," katanya.

Florian yang mengikuti Pengajian Bahasa Indonesia dan Kebudayaan Melayu di La Rochelle, di bahagian Barat Perancis ini berkata setelah memahami budaya dan bahasa masyarakat di Malaysia dan Indonesia, dia mula merancang untuk bekerja di mana-mana negara Asia.

"Saya mahu bekerja di negara Asia. Biar gajinya sedikit, tapi kehidupan di sini lebih enak dan tidak membuatkan saya tertekan," katanya yang fasih berbahasa Indonesia.

Tanpa berselindung, Florian turut mengaku sedang menjalinkan hubungan cinta dengan gadis dari Indonesia.

Belajar Bahasa Melayu Kerana Pengaruh Rakan, Bapa

Pengaruh daripada bapa dan rakan-rakan yang pernah menetap di Malaysia membuatkan M. Shamsuddeen, 22, tertarik untuk mendalami bahasa Melayu.

M. Shamsuddeen, dari Nigeria berkata walaupun masih belum mampu menguasai Bahasa Melayu namun dia tidak akan berputus asa untuk mempelajarinya.

"Saya belajar bahasa Melayu secara tidak formal daripada bapa saya yang pernah bekerja di sini dan kawan-kawan yang belajar di sini.

"Saya mendapat tahu tentang pertandingan ini pun daripada rakan saya dari Cameroon yang menetap di Malaysia.

"Bagi saya, pertandingan ini merupakan peluang yang baik untuk meningkatkan kemahiran berbahasa saya," katanya.

M. Shamsuddeen berkata bahasa Melayu tidak sukar dipelajari berbanding bahasa Nigeria.

Pun begitu, dia menjelaskan terdapat beberapa persamaan dalam perkataan bahasa Melayu dan Nigeria seperti 'sekolah' dan 'cawan'.

Mengulas tentang peluangnya untuk menang dalam pertandingan ini, sebagai penuntut bahasa Melayu yang masih baru M. Shamsuddeen berkata dia tidak begitu berharap untuk menang.

"Kemenangan bukanlah segala-galanya. Tapi saya tak nafikan ramai peserta yang hebat dapat dilihat pada hari ini," katanya.

PABM dibahagikan kepada dua kategori iaitu Nusantara dan Antarabangsa.

Malam kemuncaknya akan berlangsung pada 11 Mac ini pada pukul 8 malam di Dewan Planery, PICC.

iklan

Video

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Jumaat, 13 Oktober 2017 2:30 PM

Ruhainies Bersedia Untuk Berkeluarga

Kolumnis

iklan

Iklan