Pengundi Kembali Yakin Dengan BN - Najib

Diterbitkan: Isnin, 7 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kejayaan Barisan Nasional (BN) dalam dua pilihan raya kecil (PRK) terbaru semalam menampakkan trend sokongan pengundi terhadap BN semakin meningkat dan bertambah kukuh, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menyifatkan sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan, Perdana Menteri berkata BN akan terus berusaha mengukuhkan lagi prestasinya dalam melaksanakan janji kepada rakyat.

"Semakin hari kita dapat buktikan, apa yang kita janjikan dapat kita laksanakan. Saya percaya tahap sokongan dapat kita tingkatkan lagi. Apa isu yang ditimbulkan parti pembangkang, tidak diterima oleh rakyat kerana rakyat lebih melihat kepada jaminan masa depan mereka.

"Mereka yakin BN dapat memenuhi harapan dan jangkaan mereka untuk kecapi kualiti kehidupan yang lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-12 oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Parlimen di sini, Isnin.

Najib berkata sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN juga mengalakkan, malah mereka juga spontan dalam menunjukkan kemesraan kepada BN.

Beliau berkata kejayaan BN pada kedua-dua PRK tersebut adalah berdasarkan beberapa faktor, termasuk jentera pilihan raya BN yang mantap selain pemilihan calon yang betul.

Justeru, katanya kriteria "calon boleh menang" akan terus ditekankan oleh B Ndalam menentukan calon-calon untuk pilihan raya. Katanya rakyat juga melihat dengan curiga kepincangan kepimpinan parti-parti pembangkang yang tidak sehaluan dan pakatan mereka yang rapuh.

"Pas dalam keadaan tertekan. Isu agama yang dimainkan oleh Pas tidak diterima. Hubungan mereka dengan DAP yang terlalu selesa dipandang dengan rasa curiga oleh orang Melayu," katanya.

Katanya ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak lagi membawa impak positif kepada pembangkang, sebaliknya beliau menjadi satu liabiliti kepada pembangkang.

"Saya dengar, Pas pun suruh Anwar jangan muncul di PRK. Ada SMS yang mengatakan suruh dia jangan datang," katanya.

Dalam PRK Merlimau di Melaka semalam, BN mengekalkan kerusi tersebut melalui Roslan Ahmad yang mengalahkan Yuhaizad Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,643 undi. Roslan meraih 5,962 undi sementara Yuhaizad 2,319 undi.

Di Kerdau pula, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad mengalahkan Hasannudin Salim dari Pas dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Krau, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 2,336 undi.

Ketika menjawab soalan sama ada kejayaan ini petanda baik untuk kerajaan negeri Sarawak mengadakan pilihan raya negerinya, Najib bagaimanapun berkata PRK adalah berbeza dengan pilihan raya umum kerana ia mengambil kira beberapa faktor termasuk isu tempatan.

"Suasana keadaan mesti ambil kira faktor tempatan, nasional dan juga negeri bila tentukan situasi dalam pilihan raya, sama ada menguntungkan kita atau sebaliknya. Kita mesti lihat isu tempatan peringkat negeri dan juga kepimpinan nasional," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan