Hari Terbuka Tentera Darat Ke-78 Perkenal Aset Tentera Kepada Umum

Diterbitkan: Ahad, 6 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hari Terbuka yang julung-julung kalinya diadakan bersempena dengan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-78 bertujuan memperlihatkan aset-aset yang dimiliki oleh Tentera Darat (TD) kepada umum.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata aset-aset yang diperlihatkan itu adalah yang digunakan dalam apa jua keadaan untuk mempertahankan negara.

"Saya berharap rakyat jangan salah tafsirkan tentang sambutan Hari Terbuka yang pertama kali diadakan ini. Tujuan utamanya adalah untuk memperlihatkan semua aset tentera darat kepada orang ramai dan ia adalah satu petanda tentera akan terus mempertahankan negara dalam apa jua keadaan," katanya kepada pemberita.

Zahid hadir bagi menyempurnakan Perbarisan Perarakan Kontinjen dan Aset Tentera Darat pada hari terakhir Sambutan yang berlangsung sejak Jumaat lepas di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad dan Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Zulkifeli Mohd Zin. Aset-aset yang diperlihatkan pada sambutan itu antaranya kereta kebal, kereta perisai, artileri, hospital medan dan pelbagai lagi.

Katanya, aset lama TD seperti kereta perisai yang dijadikan bahan pameran turut diperlihatkan pada sambutan itu selepas ianya telah dibaik pulih dan telah ditingkatkan kemampuannya.

"Aset-aset ini banyak kegunaannya kepada kita. Kalau dahulu ianya telah digunakan pada zaman peperangan komunis dan darurat.

"Ia juga merupakan aset yang canggih yang diperolehi sama ada oleh pembuat dari industri tempatan dan luar negara," katanya.

Sambutan yang juga bertujuan untuk merapatkan TD dengan orang awam itu turut mempersembahkan pelbagai pertunjukan kepakaran antaranya demonstrasi anjing perang, pertunjukan payung terjun, pertunjukan PARA Warrior Dance, dan demonstrasi Unit Lawan Keganasan (ULK).

Seramai 100 pegawai dan 5,000 anggota lain-lain pangkat terlibat dalam Hari Terbuka itu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan