Tiga Hari Sertai PAS, Muzammil Kembali Kepada Umno - Berita Semasa | mStar

Tiga Hari Sertai PAS, Muzammil Kembali Kepada Umno

Diterbitkan: Sabtu, 5 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK TEMERLOH: Selepas tiga hari menyertai PAS, Muzammil Muallif, 51, pada Sabtu mengumumkan pendirian untuk kembali ke pangkuan Umno.

Bekas Ketua Umno Cawangan Jengka 25 itu berkata, tindakannya menyertai PAS merupakan satu kesilapan besar apabila menyedari bahawa tidak ada mana-mana parti selain Barisan Nasional (BN) dan Umno yang boleh memperjuangkan nasib rakyat.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakannya kembali kepada Umno adalah pertimbangan peribadi tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Setelah difikir dengan semasak-masaknya, tanpa dipaksa, ditekan atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak, maka dengan ini saya mengisytiharkan untuk kembali kepada Umno.

"Melihat kepada hasil perjuangan Umno dan BN terhadap rakyat di negara ini termasuk pembukaan Felda dan Felcra, saya tidak yakin mana-mana parti terutama PAS dan Pakatan Rakyat mampu menandingi sumbangan BN," katanya pada sidang media di sini.

Dalam pada itu beliau yang juga bekas Naib Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) dan bekas pembantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanggang, Allahyarham Abdullah Kia turut menafikan membawa bersama 11 orang ahli Umno dari Jengka 25 menyertai PAS bersamanya seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya tidak membawa mana-mana ahli Umno Jengka 25 semasa saya keluar (Umno) tempoh hari.

"Berkemungkinan 11 orang yang diuar-uarkan oleh PAS itu terdiri daripada penyokong PAS sendiri," katanya.

Rabu lalu Muzammil dilaporkan bersama 11 yang lain menyerahkan borang keahlian PAS kepada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tindakan itu disifatkan PAS sebagai tekanan kepada terhadap Umno.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan