PRK Merlimau: BN, PAS Tumpu Kawasan Kampung

Diterbitkan: Jumaat, 4 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ANALISIS mStar Oleh HAIRULAZIM MAHMUD

BERBAKI sehari lagi kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, kedua-dua parti yang bertanding Barisan Nasional (BN) dan PAS terus bergerak tanpa henti bagi memenangkan calon masing-masing pada hari penentuan Ahad ini.

Pekan Merlimau yang terletak di dalam Peti Undi (PU) Pengkalan Samak kian panas tapi meriah, begitu juga PU Merlimau Utara di mana terletaknya institusi pengajian tinggi (IPT) kemegahan penduduk kawaan ini iaitu Politeknik Merlimau dan tidak jauh dari politeknik ini juga akan dibina cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Boleh dikatakan selang setiap 50 meter di sepanjang jalan pastinya terdapat siri ceramah sama ada oleh BN atau PAS membakar semangat penyokong dan pengundi sekitar memastikan kemenangan calon mereka lusa.

Penceramah-pencermah yang sebahagian besarnya datang dari luar kawasan di seluruh negara turun padang bagi membantu jentera parti mereka sambil mahu menyuntik semangat ahli, penyokong dan pengundi.

Kemeriahan turut dirasai dengan lebih banyak poster calon, bendera dan kain pemidang direntang serta dipapaskan sepanjang di sepanjang jalan, rumah dan bilik-bilik gerakan.

Selain itu, jentera parti BN dan PAS mula mencongak di manakah kawasan yang belum diselesaikan atau diulang kempen bagi mengukuhkan lagi kedudukan serta keyakinan pengundi terhadap calon masing-masing.

Roslan Ahmad, 44, calon muda BN terus melaksanakan tugasnya berkempen dari rumah ke rumah selain menyertai pimpinan-pimpinan tertinggi BN yang turun padang antaranya Naib-Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Roslan ketika ditemui memberitahu bahawa beliau kini dalam usaha menghabiskan baki 10 peratus pengundi.

"Tiada banyak isu besar hanya isu kecil sahaja yang mereka komplen," katanya.

Nada Roslan penuh keyakinan bahawa BN akan mengekalkan kerusi yang diwarisi BN sejak dulu lagi.

Sementara Yuhaizad Abdullah, 38, juga mewakili Pemuda PAS turut bersama-sama berkempen dari rumah ke rumah. Kempen cara sama yang digunakan Roslan ini lebih berkesan menjelang saat-saat akhir ini. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub turun padang membantu calon parti berkempen.

Yuhaizad juga ada keyakinannya untuk menjadi wakil rakyat di DUN Merlimau. Beliau akui PAS tiada kekuatan khusus sama ada di kawasan pekan atau kampung. Baginya kekuatan parti pembangkang itu seimbang di semua lokaliti.

Bagaimanapun trend pengundi di kawasan yang menjadi kubu kuat BN itu ketika ini mahukan perubahan, katanya, Selain itu, MCA mewakilkan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Setiausaha Agung, Datuk Dr. Wee Ka Siong selain pucuk pimpinan MIC, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Gerakan bagi menangani isu-isu mengikut kaum.

MCA yakin sokongan kaum Cina memihak kepada BN. Merlimau umpama lubuk bagi BN dengan sokongan tidak berbelah bahagi kaum berkenaan kepada calon parti perikatan berkenaan.

Yang menjadi fokus kempen saat-saat menjelang hari pengundian Ahad ini ialah kawasan yang dikenal pasti 'kelabu'. Matlamatnya untuk memutihkan kawasan-kawasan berkenaan sebelum tempoh berkempen tamat tepat jam 12 tengah malam Sabtu.

Bagi BN, kawasan yang dikenal pasti mesti diputihkan sepenuhnya ialah Merlimau Pasir yang memiliki 1,197 pengundi Melayu, 515 (Cina), 461 (India) dan 7 (Lain-lain) dan Chinchin dengan 1,619 (M), 292 (C), 213 (I) dan 2 (L).

Jentera PAS juga dilihat banyak bertumpu di kedua-dua kawasan yang sama. Jadual ceramah kedua-dua parti juga banyak tertumpu di situ.

Berdasarkan maklumat pengundi yang dimiliki, BN dijangka mampu menokok majoriti berbanding yang diperolehnya melalui Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada Pilihan Raya Umum 2008.

Ini berdasarkan BN percaya dapat menarik semula kepercayaan pengundi Cina di kawasan-kawasan tertentu yang sebelum ini memilih untuk memangkah pembangkang.

PRK DUN Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohamad Hidhir pada 20 Januari lalu. PRU 2008 menyaksikan Allahyarham menewaskan Jasme Tompang dengan majoriti 2,154.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, jumlah pemilih N. 27 ialah 10,026 sementara pada 2008 meningkat kepada 10,472 dengan pertambahan sebanyak 445 orang dan pada tahun ini meningkat kepada 10,679 orang layak mengundi dengan 207 pengundi baru.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan