Sebanyak 7.9 Juta Saman Telah Diselesaikan Sejak 12 Ogos Lepas

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7.9 juta saman telah diselesaikan oleh pesalah-pesalah trafik, setakat ini, sejak tempoh diskaun 50 peratus diberikan yang bermula 12 Ogos tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail berkata jumlah itu menjadikan sebanyak 9.4 juta saman belum dilunaskan oleh pesalah trafik.

"Seperti yang kita ketahui kerajaan telah melanjutkan tempoh pembayaran saman sehingga 10 Mac ini, orang ramai perlu ambil peluang yang ada untuk menjelaskan saman mereka supaya nama mereka tidak disenarai hitamkan.

"Jabatan Pengangkutan Jalan akan menyenaraihitamkan dan mengaktifkan mata demerit terhadap mana-mana pesalah trafik yang gagal melunaskan saman sehingga 10 Mac ini," katanya kepada pemberita selepas menandatangani dan merasmikan kaunter saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pos Malaysia Berhad di sini.

Berikutan sikap sambil lewa pesalah trafik yang membuat pembayaran saman pada saat-saat akhir, Hussin berkata ia menyebabkan sistem komputer mengalami masalah berikutan jumlahnya tidak dapat ditampung dengan berkesan.

"Terdapat segolongan masyarakat yang gemar membuat pembayaran pada saat-saat akhir, walaupun kerajaan telah beri masa yang lama kepada mereka untuk jelaskan saman tertunggak dan ini menyebabkan timbul masalah pada sistem komputer," katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya masyarakat tidak cuba merasuah polis apabila melakukan kesalahan jalan raya kerana ia bukan sahaja menyalahi undang-undang tetapi juga berlawanan dengan prinsip etika.

"Jika kesalahan dilakukan, terimalah saman yang dikenakan polis. Sikap begini bukan sahaja profesional tetapi juga berintegriti," katanya.

Mengenai majlis itu, beliau berkata sebanyak 703 cawangan Pos Malaysia Berhad di seluruh negara telah menyediakan kaunter semakan dan bayaran saman PDRM yang telah mula beroperasi pada 1 Ogos lepas.

"Perkhidmatan ini memberi kemudahan kepada orang ramai kerana kini, penduduk luar bandar tidak perlu bersusah-payah ke kaunter bayaran saman di Ibu Pejabat Polis Daerah dan hanya boleh buat pembayaran di cawangan pejabat pos," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan