Rafidah Pikul Agenda Pertama Dapatkan Laluan Baru Untuk AirAsia X

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Mendapatkan laluan baharu seperti Sydney dan Jeddah, merupakan agenda pertama yang perlu dipikul Tan Sri Rafidah Aziz sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif AirAsia X yang baru.

Menyifatkan pelantikannya bukan semata-mata menghadiri mesyuarat lembaga pengarah tanpa mengetahui hala tuju syarikat, Rafidah berkata banyak yang boleh beliau sumbangkan sebagai satu pasukan.

"Kita masih menunggu kelulusan bagi beberapa laluan yang kita mohon, contohnya Sydney dan Jeddah," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melawat Pejabat dan Akademi AirAsia, di sini hari ini.

Rafidah yang menggantikan Datuk Kamaruddin Meranum, masih meletakkan kepentingan negara berbanding keuntungan dan laba syarikat kerana menurutnya laluan penting seperti itu mampu menyumbang lebih besar seperti kemasukan pelabur asing dan pelancong dari luar negara.

"Limpahan ekonomi akan berlaku dari laluan berkenaan. Bukan sahaja perbelanjaan pelancong, malah produk Malaysia akan dipromosi seperti perkhidmatan, hotel, pengangkutan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, komuniti perniagaan yang mementingkan kos yang rendah, pasti tertarik untuk menggunakan perkhidmatan AirAsia apabila berulang-kali datang ke negara ini sebelum memutuskan untuk membuka kilang atau melabur di sini.

"Bukan semua pelabur naik kelas pertama. Dengan bayaran tambang yang rendah tanpa menjejaskan perkhidmatan, AirAsia pasti menjadi pilihan. Anda bayangkan berapa ramai akan datang untuk merebut peluang ekonomi di Malaysia," katanya.

Malah, katanya rangkaian AirAsia akan menjadikan Malaysia sebagai hab untuk mengagih-agihkan pelancong ke seluruh rantau ini.

"Pastinya laluan baharu tidak menguntungkan dan produktif sekelip mata namun jika kita tahu ada pasaran dan permintaan, kita boleh bina. Ini adalah agenda pertama yang akan dibuat sebab kita tahu potensinya banyak," katanya lagi.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, beliau mengambil masa selama dua minggu sebelum memutuskan untuk menerima tawaran sebagai pengerusi bebas bukan eksekutif AirAsia X ini.

"Saya tertarik bila saya ditawarkan menjadi pengerusi AirAsia X. Sebelum membuat keputusan, pihak pengurusan telah memberi taklimat penuh kepada saya, dan saya melawat ke AirAsia terlebih dahulu."

"Saya tertarik dengan gaya pengurusan dan model perniagaan serta pendekatan yang mereka ambil dalam membangunkan Airasia dan seterusnya AirAsia X. Selepas itu baru saya setuju untuk menerima jawatan ini," katanya.

Rafidah berkata, jawatan ini merupakan tawaran kedua yang beliau terima selepas menjadi anggota lembaga pengarah dalam salah sebuah anak syarikat Johor Corp dua tahun lepas.

"Semasa dalam subsidiari Johor Corp, saya tidak mahu dibayar kerana syarikat itu baru sahaja ditubuhkan," kata Rafidah yang menjadi menteri kabinet persekutuan selama lebih 20 tahun.

Tanpa berselindung, Rafidah berkata : "Kali ini (AirAsia X), saya akan dapat apa yang pengerusi dapat."

"Saya boleh pilih menjadi pengerusi di tempat lain, kecuali saya rasa saya boleh menjadi anggota pasukan yang saya boleh terima, saya tidak mahu jadi pengerusi yang hanya melihat dari jauh, menghadiri mesyuarat lembaga, tidak tahu apa yang berlaku.

"Saya mahu melihat apa yang saya mahu lihat... secara nyata."

Ditanya pendapat mengapa beliau yang dipilih, Rafidah berkata: "Mungkin kerana pengaruh saya. Malah sebelum inipun saya sudah katakan kepada mereka bahawa mereka menggunakan saya. (Memanglah) saya bukan budak glamor saya bukan budak poster, saya tahu mengapa mereka pilih saya.

"Betul, saya akan gunakan pengaruh yang saya ada. Saya ada rakan di luar negara yang boleh membantu syarikat ini. Saya boleh berjumpa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Jika saya boleh beri input dan kalau boleh digunakan, mengapa tidak, Ia membantu syarikat Malayaia."

Mengenai lawatan Dr Mahathir, Rafidah berkata: "Hari ini adalah hari rasmi pertama saya bekerja dan bertemu Tun Mahathir di sini... ia mengembirakan saya."

Rafidah bagaimanapun berkata beliau tidak mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah hari ini, meskipun diminta berbuat demikian.

"Saya tidak mempengerusikannya. Saya sudah meminta Kamaruddin meneruskannya. Dia turut meminta saya, namun memandangkan terlalu banyak perkara yang dibincangkan pada mesyuarat lepas, biarlah dia selesaikan. Tetapi mesyuarat depan, ada agenda baharu," kata Rafidah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan