Di Kerdau karakter Syed dan Hassan Cairkan Hati Pengundi...

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MASUK hari keenam berkempen, calon Barisan Nasional (BN) mahupun PAS pastinya akan melipatgandakan usaha meraih sokongan dan kepercayaan menjelang hari pengundian yang hanya tinggal tiga hari sahaja lagi.

Sehingga kini suasana kempen di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau berjalan dalam keadaan terkawal tanpa sebarang insiden provokosi hingga boleh mencetuskan perbalahan.

Keadaannya tidaklah pula hambar tetapi sekadar 'biasa-biasa' sahaja.

Mungkin jika diukur dari segi perang poster dan bendera parti yang bertanding, kelebihan akan berpihak kepada BN. Masakan tidak, hampir di semua kawasan strategik dan tumpuan orang ramai, dipenuhi bendera biru putih berlambang dacing.

Itu belum dikira jumlah poster gergasi seakan 'billboard' yang diletakkan di beberapa kawasan atau persimpangan jalan yang strategik dan menjadi laluan ramai. Dari sudut psikologi dan perang poster nampaknya macam BN ke hadapan berbanding PAS.

Ahad ini, sejumlah 8,999 pengundi berdaftar di DUN Kerdau akan menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat mereka yang baru.

Hanya ada dua pilihan iaitu calon BN yang menurunkan Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad bagi mempertahankan kerusi DUN itu manakala PAS mempertaruhkan nasib ke atas Ketua Penerangan Negeri Pahang, Hassanuddin Salim.

Kedua-duanya merupakan anak tempatan di kawasan berkenaan.

Dari segi penampilan, kedua-duanya lebih selesa berkopiah. Bezanya Syed Ibrahim yang lebih dikenali sebagai 'Syed Ibra' memakai kopiah bersulam dan ada kalanya bercorak.

Manakala Hassanuddin seperti kebiasaan ahli PAS yang lain, kekal dengan imej 'tok guru' iaitu berkopiah putih bersih tanpa corak.

Masing-masing mempunyai latar belakang pekerjaan yang berbeza. Syed Ibrahim yang mempunyai kelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Khas Agama Menteri Besar Pahang.

Beliau juga aktif menyampaikan ceramah-ceramah agama di kawasan Kerdau.

Hassanuddin pula adalah lulusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan merupakan ahli perniagaan dalam industri pembinaan dan ukur tanah.

Seorang warga Felda Jengka 22 yang mahu dikenali sebagai Zainun ketika ditemui berkata, beliau lebih cenderung kepada 'kopiah Umno' berbanding 'kopiah PAS'.

Menurutnya, jasa dan pengorbanan kerajaan BN untuk warga Felda dari dahulu sehingga ke hari ini merupakan faktor beliau selesa bersama parti itu.

"Makcik suka ustaz Syed Ibra', dia baik hati, lemah lembut dari segi pertuturan dan ramah dengan orang ramai.

"Kami orang Felda di sini kenal dia sejak dulu lagi...pernah juga dia datang bagi ceramah agama di sini dulu...kopiah dia pun cantik," katanya sambil ketawa kecil.

Diajak bercerita mengenai imej berkopiah kedua-dua calon, Zainun berkata, gaya 'ustaz-ustaz' Syed Ibrahim membuatkan beliau lebih 'sejuk hati' dan sekaligus memberi keyakinan bahawa calon berkenaan mampu berkhidmat dengan baik.

Berbanding intepretasi kopiah putih milik Hassanuddin, kata Zainun, calon berkenaan juga 'nampak baik'.

"Makcik tak kata dia tak baik atau jahat, makcik tahu dia pun orang baik-baik, tapi ustaz Syed Ibra' punya (kopiah) lagi elok," katanya berlapik.

Sementara itu seorang pengundi di kalangan masyarakat Tionghua dari Kampung Baru Kerdau yang dikenali sebagai Yap turut melahirkan pandangan yang sama berhubung imej 'ustaz Umno' dan 'ustaz PAS' itu.

"Dua-dua pun mesti orang baik-baik, orang belajar agama mesti baik.

"Mereka ada datang sini jumpa kami. Tapi saya lagi kenal sama Syed Ibrahim...dia sangat baik, suka tolong orang," katanya.

Dari segi 'perang karakter', nampaknya sama ada Syed Ibrahim mahupun Hassanuddin, masing-masing berjaya 'mencairkan' hati pengundi.

Cuma PAS lebih mementingkan kepada pembangunan fizikal di kawasan DUN Kerdau apabila menurunkan Hassanuddin sebagai calon berdasarkan pengalamannya.

Berbanding calon BN, Syed Ibrahim menyedari bahawa pembangunan fizikal dan spiritual perlu diseimbangkan untuk keperluan dunia dan akhirat.

Jadi terpulang kepada pengundi, tawaran kedua-dua parti sudah dibentang. Mereka hanya perlu memilih seorang pemimpin yang benar-benar mampu membawa perubahan terutamanya bagi membela nasib dan masa depan generasi akan datang.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan