Demonstrasi Di London Didalangi Pembangkang - Hishammuddin

Diterbitkan: Khamis, 3 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JASIN: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hairan dengan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan termasuk rakyat Malaysia yang berdemontrasi di London Selasa lalu kononnya mendedahkan dakwaan salah guna kuasa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Malah beliau yang yakin tindakan itu didalangi parti pembangkang dan bermotifkan mempersoalkan kenapa sekarang mereka beria-ria berbuat demikian.

"Kenapa sekarang? Ini semua kerana pilihan raya negeri yang menjelang tiba tidak lama lagi," katanya yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Mesra Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Hari Bersama Pelanggan Kementerian Dalam Negeri di Merlimau Point, di sini Khamis.

Hadir sama termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad.

Beliau mengulas tindakan segelintir rakyat Malaysia berberapa warga asing yang menyertai demonstrasi 'Hentikan Rasuah Balak' di London kononnya untuk mendedahkan dakwaan salah guna kuasa terhadap Abdul Taib.

Demonstrasi tersebut dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Bruno Manser Fund (BMF), di luar bangunan syarikat yang dikatakan dikuasai oleh keluarga Abdul Taib, Ridgeford Properties Ltd, di tengah kota London.

Demonstrasi itu diketuai adik ipar bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown iaitu Clare Rewcastle Brown dan rakyat asal Sarawak, Petrus John Jaban.

Hishammuddin berkata, pihak berkuasa memantau kumpulan berkenaan yang dilihat cuba mengeksloitasi isu di luar selain mengelirukan rakyat.

"Ketua Menteri (Sarawak) berdepan dengan serangan peribadi bertubi-tubi, setahu saya akan ada demonstrasi di Sarawak nanti. Ini semua didalangi pembangkang kerana merekalah yang akan mendapat hasil daripada apa yang berlaku ini," jelasnya.

Tambah beliau, tindakan ini dibuat ekoran kegagalan pembangkang 'merampas' kerajaan melalui wakil rakyat-wakil rakyat Sarawak yang dihebohkan sebelum ini.

Beliau berkata, polis sentiasa bersiap-sedia bagi menghadapi situasi di Sarawak itu kelak.

"Saya sebenarnya tak sangka adanya pengkhianat-pengkhianat yang tergamak menggadaikan maruah bangsa di bumi asing, tapi polis telah bersia-sedia," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menolak tanggapan bahawa polis lewat bertindak ke atas pengikut pertubuhan haram, Hindraf.

Sebaliknya beliau memberitahu, pihak berkuasa telah memantau sejak awal lagi dan dapat bertindak menangani demonstrasi berkenaan.

"Mereka cuba menarik perhatian media antarabangsa yang mungkin mahu melihat polis gunakan pemedih mata dan penyembur air, jadi tiada beza Libya dengan saya.

"Tapi atas pertimbangan polis alat itu tidak digunakan, saya tidak arahkan," jelas beliau.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan