Kumpulan Terakhir 18 Rakyat Malaysia Selamat Tiba Dari Libya

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Kumpulan terakhir seramai 18 rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Libya, selamat tiba di tanah air pada Rabu.

Mereka yang kebanyakannya bekerja di negara terbabit berlepas dari Rome, Itali pada pukul 12.20 tengah hari semalam dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH015, yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.26 pagi.

Sebelum ini mereka berada di Tunisia setelah terkandas di Tripoli, Libya, dan tiba di Rome melalui pesawat C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Mereka merupakan kumpulan ketiga rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke tanah air ekoran krisis yang sedang berlaku di Libya selepas 98 orang selamat tiba dua hari lepas dan lapan orang semalam.

Ketibaan kumpulan itu disambut gembira anggota keluarga masing-masing dan pihak pengurusan syarikat pekerja-pekerja tersebut, Ranhill Berhad yang setia menanti seawal pukul 5 pagi.

Rata-rata mereka yang ditemui berasa gembira dan bersyukur kerana selamat kembali ke tanah air setelah melalui pengalaman menakutkan dan sukar dilupakan ekoran rusuhan rakyat Libya terhadap pemimpin mereka.

Fairuz Abdullah, 28, yang baru bertugas di Libya selama enam bulan, berkata pengalaman melihat tindakan agresif askar negara itu memukul orang ramai yang berebut-rebut untuk masuk ke Lapangan Terbang Tripoli adalah paling mengejutkan.

Katanya ada di antara orang ramai yang mengalami kecederaan dan pengsan akibat dipukul kerana cuba memotong barisan semasa hendak memasuki lapangan terbang.

"Saya terpaksa menunggu sehingga tiga jam dalam keadaan cuaca yang sangat sejuk sebelum dibenarkan masuk dan keadaan di kawasan itu memang sesak dan sukar dikawal," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tiada keadaan yang tidak diingini berlaku kepada kumpulan rakyat Malaysia dan menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia dalam menguruskan proses membawa pulang rakyatnya adalah yang terbaik dan berjalan lancar.

Bagi Nassaruddin Abdul Thalib, 34, pula kejadian tembak menembak yang berlaku berhampiran lapangan terbang tersebut adalah pengalamannya yang paling menakutkan.

Katanya kejadian itu yang dipercayai antara polis dan perusuh menyebabkan beberapa orang tercedera dan terpaksa dihantar ke hospital.

"Saya dapat lihat ada orang yang cedera dan terbaring, dan ada banyak ambulans dan saya bersyukur kerana tiada apa-apa berlaku pada kami.

"Saya juga gembira dapat pulang kerana keadaan di sana sudah tidak dapat dikawal. Banyak kedai yang ditutup dan makanan kami juga semakin berkurangan," katanya.

Seorang lagi, Rabiyatul Adawiyah Mustafa, 35, turut menceritakan pengalamannya semasa kejadian rusuhan mula-mula berlaku di negara terbabit.

Katanya pihak pengurusan syarikatnya di sana telah bersiap sedia pada awal kejadian rusuhan, bagi mengelak kemungkinan berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Bila kami dengar sahaja ada orang buat rusuhan, pihak syarikat sudah memanggil kami dan memberitahu segala soal keselamatan termasuk mengenakan larangan keluar kepada kami di kem tempat kami menginap.

"Kami sebenarnya selamat dalam kem itu kerana tiada kejadian yang tidak diingini berlaku, namun bimbang juga kalau mereka (perusuh) datang ke kem kami," katanya.

Beliau yang baru bertugas di negara tersebut selama setahun lebih berharap keadaan akan pulih dan membenarkannya kembali mencari rezeki di negara terbabit. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan