Kerajaan Pahang Tidak Bankrap: Adnan

Diterbitkan: Rabu, 2 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Laporan Ketua Audit Negara bahawa wujud kelemahan pentadbiran dan pengurusan kewangan dalam pentadbiran Pahang tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi kerajaan negeri itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, laporan berkenaan hanya menumpukan kepada aspek teknikal tanpa mengambil kira dari segi perlaksanaan sesuatu perbelanjaan pembangunan yang dibuat kerajaan negeri.

"Ketua Audit Negara jalankan tugas secara profesional, mereka menumpukan kepada aspek tertentu iaitu pengurusan kewangan seperti berapa banyak belanja dibuat dan sama ada perbelanjaan itu sama dengan matlamat atau objektif asal sewaktu ia diluluskan.

"Tapi sebenarnya secara keseluruhan laporan audit tidak menggambarkan apa yang berlaku di bawah, hanya menunjukkan dari segi bagaimana kewangan diaudit," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di Bilik Gerakan Daerah Temerloh di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tuduhan PAS bahawa kerajaan negeri akan bankrap kerana mengalami defisit belanjawan selama 13 tahun berturut-turut dan kini menanggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion.

Dalam pada itu Adnan turut menafikan bahawa kerajaan negeri mengalami defisit selama 13 tahun berturut-turut.

"Selama saya jadi Menteri Besar sudah 11 kali saya bentangkan bajet. Dalam tempoh itu hanya dua kali mengalami defisit," katanya.

Adnan berharap rakyat dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau tidak terkeliru dengan teguran Ketua Audit Negara.

"Saya harap orang ramai jangan terkeliru dengan teguran Ketua Audit Negara, pihaknya menjalankan tugas mengingatkan kita supaya seboleh-bolehnya mematuhi apa yang kita bentangkan dalam peruntukan bajet.

"Tapi realitinya kita tak boleh jamin sebab angka akan lari, sepatutnya kita kutip banyak tapi sikit, patut belanja banyak tapi kita belanja sikit.

"Ketua Audit Negara pandang dari aspek kewangan, tapi kita sebagai kerajaan tengok kepada keseluruhannya, ada kos-kos tambahan dan kos sampingan," katanya.

Mengulas mengenai bebanan hutang kerajaan negeri, Adnan berkata situasi berkenaan adalah perkara biasa kerana kerajaan negeri lain juga mengalami masalah yang sama.

"Walaupun ada hutang...hutang perkara biasa, hutang bukan bankrap. Bukan Pahang sahaja (berhutang) negeri lain pun termasuk Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor juga sama," katanya.

Sementara itu, Adnan yang juga Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi DUN Kerdau berkata rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan pembangkang berhubung isu berkenaan.

Menurutnya PAS ketandusan isu dan hanya menggunakan strategi memfitnah kononnya kerajaan negari akan bankrap.

"Isu ini tidak pengaruhi rakyat dan tidak mempengaruhi kerajaan, tapi kerajaan kena bersihkan persepsi. Pembangkang tak ada modal lain.

"Alhamdulillah kita dapat beri penjelasan kepada rakyat berhubung perkara ini dan rakyat terima," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan