PM, TPM Akan Jawab 'Buku Jingga' Pembangkang

Diterbitkan: Selasa, 1 Mac 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TEMERLOH: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengulas dan memberi penjelasan mengenai implikasi yang bakal dihadapi kerajaan berhubung tawaran 'pelan 100 hari' pembangkang pada siri jelajah ke seluruh negara yang akan diadakan bermula bulan ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjelasan berhubung tawaran pembangkang menerusi 'Buku Jingga' perlu dilakukan bagi memastikan rakyat tidak terkeliru dan terpedaya dengan janji-janji kosong pembangkang.

"Nanti sampai ke satu peringkat yang Perdana Menteri dan saya akan buat, kita akan ulas satu persatu supaya jangan ada pihak yang terpedaya dengan tarikan yang agak besar kononnya boleh ditawarkan oleh Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai sama ada kerajaan bimbang dengan tawaran pembangkang sekiranya berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini Perdana Menteri berkata menerusi Pelan Transformasi Politik (PTP), beliau dan timbalannya akan turun padang menjelajah ke seluruh negara untuk mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat secara lebih dekat.

Najib dan Muhyiddin akan memulakan sesi lawatan secara bersama bermula dengan Sarawak pada 18 dan 19 Mac ini sebelum kedua-duanya melakukan lawatan berasingan ke negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, sudah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kesan yang bakal berlaku sekiranya pembangkang memerintah negara.

'Kita tak bimbang soal itu (Buku Jingga). Tapi yang penting supaya rakyat tidak ditipu dengan kata-kata manis dan janji-janji kosong.

"Sebab itu kita perlu jelaskan apa implikasi mereka (perlu hadapi) kalau yang disebut dalam buku jingga itu nak dilaksanakan. Kita sudah simulasi, kalau itulah keadaannya, dalam tempoh dua tahun Malaysia akan jadi bankrap," katanya.

Tambah beliau pada masa ini pembangkang mudah berjanji untuk menggunakan segala sumber kekayaan negara bagi memenuhi janji kepada rakyat kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab mentadbir negara.

"Mereka akan kata tak akan bankrap kerana akan gunakan segala sumber yang ada seperti Petronas dan sebagainya. Tapi kalau buat begitu habislah...dia nak punahkan negara.

"Memang nampak mudah tapi implikasinya besar, mereka boleh buat tawaran begitu kerana mereka tak rasa bertanggungjawab...mereka tak fikir panjang.

"Berbeza dengan BN, kalau nak buat sesuatu kita akan ambil kira kesan kepada negara," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan