Pengalaman Negeri Rakyat Malaysia Di Libya

Diterbitkan: Isnin, 28 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Rakyat Malaysia di Libya mengalami suasana ngeri sebelum kerajaan Malaysia segera membawa mereka keluar dari negara yang sedang bergolak itu ekoran rusuhan rakyat terhadap pemimpin mereka.

Mereka menceritakan detik-detik cemas sebelum dipindah keluar.

"Saya tak boleh lupa kejadian yang berlaku. Saya lihat mayat-mayat, pelbagai senjata di tangan orang awam dan berlaku kejadian tembak menembak.

"Ia amat menakutkan. Tak pernah saya fikir Libya boleh bertukar macam ini," kata P. Naveen, 36, seorang kontroler kanan syarikat Malaysia Ranhill Berhad yang sudah empat tahun bekerja di Libya.

Beliau merupakan antara 98 orang rakyat Malaysia di Libya yang tiba dengan pesawat komersial Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pagi tadi dari Rome, Itali.

Sebelum itu mereka diangkut ke Rome dari ibu negara Libya, Tripoli menerusi pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia.

Keseluruhan seramai 130 rakyat Malaysia telah dipindahkan ke Rome Jumaat lalu sementara 32 lagi menunggu untuk dihantar pulang dan dijangka tiba Rabu ini.

Shahrizal Zulkifli, 33, dapat menyaksikan suasana di Lapangan Terbang Tripoli sebagai zon perang.

"Saya terpaksa menunggu selama 12 jam dalam cuaca sejuk untuk memasuki terminal Lapangan Terbang Tripoli.

"Kita beratur 12 jam untuk memasuki lapangan terbang. Lapangan terbang macam zon perang. Walaupun tiada kejadian tembak menembak, tetapi dengan kehadiran ribuan orang disertai kehadiran ramai pasukan tentera dan polis, ia menakutkan.

"Dalam keadaan itu, ada yang berdarah, pengsan dan lapangan terbang turut dipenuhi dengan ambulans. Untuk masuk ke dalam lapangan terbang sahaja, kita kena berjalan sejauh satu kilometer.

"Kita tidak dapat masuk dengan mudah kerana berpuluh ribu orang berada di dalam kawasan lapangan terbang. Jadi kita kena tunggu 12 jam dengan cuaca yang begitu sejuk dan angin yang kuat. Pukul 3 pagi (waktu tempatan) baru kita dapat masuk terminal," kata Shahrizal yang berkerja di Libya belum sampai setahun.

Shaiful Abdul Rahim Abdul Wahab, 40, turut menceritakan pengalamannya terkandas di Lapangan Terbang Tripoli sebelum mereka dipindahkan ke Rome.

"Kita terkandas di lapangan terbang hampir 12 jam. Masa kita keluar dari lapangan terbang turut berlaku kejadian tembak-menembak antara polis dengan mereka yang mahu menaiki kapal terbang.

"Saya takut sangat bila kita dipindahkan dari satu tempat ke tempat lain. Bila kita diarahkan oleh pegawai kedutaan kita untuk lari ke tempat lain bagi menyelamatkan diri, kita pun berlari," kata beliau.

Seorang lagi pekerja Ranhill, Helmi Saari, 33, berkata beliau dan rakan-rakannya tidak berani keluar dari kem tempat mereka bekerja apabila mengetahui rusuhan telah berlaku.

"Saya di sana pun baru dua bulan, jadi bayangkanlah bila dengar berita rusuhan, kita tak berani keluar. Kita telah dinasihat agar jangan keluar.

"Nasib baik kita tinggal di dalam kem yang disediakan Ranhill, makanan pun tak ada masalah sangat," katanya yang bertugas di Tajura, Tripoli.

Salwah Shamsudin, 26, berkata beliau turut berkurung di dalam rumah sejak 18 Feb lalu atas nasihat pihak kudataan Malaysia.

"Saya dinasihatkan agar jangan keluar rumah. Jadi saya tidak melihat apa-apa kejadian di luar rumah. Saya hanya dapat mendengar jeritan orang ramai.

"Situasi paling mencemaskan ialah di lapangan terbang (Tripoli), ia seolah-olah macam kem pelarian dengan begitu ramai orang yang mahu ke negara lain tetapi tidak ada tiket penerbangan," katanya.

Pelajar tahun tiga Universiti Dakwah Islamiya Libya, Julisah Jamahad terkejut apabila tiada seorang pun tenaga pengajar yang hadir pada hari peperiksaan di universiti itu.

"Kita tidak faham apa yang berlaku. Walaupun pengarah universiti bagi jaminan keselamatan kepada kita, tetapi kita tak puas hati sebab kita sedang mendengar letupan dan bunyi tembakan," katanya.

Walau apapun yang berlaku, pelajar tahun satu universiti yang sama, Bal Ikhwan Khairul Anwar, 22, berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang bertindak segera memindahkan rakyat Malaysia.

"Walaupun pihak universiti dan tentera memberi jaminan bahawa keselamatan pelajar terjamin, tetapi saya masih takut. Saya lega selepas kita semua dibawa keluar dari Libya," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan