Hindraf Mahu Burukkan Malaysia

Diterbitkan: Isnin, 28 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JENGKA: Tindakan kumpulan Hindraf mengadakan demonstrasi secara haram bagi membantah novel Interlok sengaja dirancang bagi memburukkan imej negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kumpulan berkenaan mahu mencabar kerajaan menggunakan kekerasan agar ia boleh dieksploitasi media antarabangsa seolah-olah Malaysia mengamalkan dasar pemerintahan yang zalim.

"Pendirian kita sudah jelas, kita tak nak gunakan kekerasan tetapi mereka harapkan kita guna kekerasan.

"Mereka nak eksploitasi (tindakan kerajaan) melalui televisyen antarabangsa...nak tunjukkan kononnya kita sebuah kerajaan yang zalim," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pengundi Felda Jengka 25 di sini, Ahad.

Perdana Menteri berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan polis menahan seramai 109 orang termasuk lapan pemimpin kanan Hindraf dan Hak Asasi Manusia (HRP) yang berdemonstrasi di Kuala Lumpur City Centre (KLCC), pagi tadi.

Antara yang ditahan termasuk lapan wanita, serta dua wartawan media alternatif yang ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis.

Mengulas lanjut Najib berkata, tindakan kumpulan berkenaan mengadakan demonstrasi di KLCC juga menimbulkan kemusykilan kerana dilihat sengaja mahu menarik perhatian orang ramai terutamanya di kalangan pelancong asing.

"Kalau ada sesuatu kemusykilan, mereka boleh hantar memorandum kepada saya atau kepada pemimpin lain di Putrajaya. Mengapa mereka perlu adakan demonstrasi, dan kenapa perlu buat di KLCC?

"Tentu mereka ada niat tertentu untuk menimbulkan gambaran yang buruk kepada negara kita melalui media antarabangsa... itu sebenarnya sasaran mereka iaitu memburukan imej negara Malaysia," katanya.

Menurut Perdana Menteri, mengadakan demonstrasi mengenai nasib orang India adalah tidak berasas kerana kerajaan sememangnya memberi perhatian kepada nasib golongan berkenaan.

"Kalau soal masalah kaum India kita sedang atasi, banyak masalah kaum India telah kita atasi dan sebab itulah di (pilihan raya kecil) Tenang sokongan kepada kita meningkat dengan ketara," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan