Krisis Di Timur Tengah Tidak Jejas Eksport Minyak Sawit Negara

Diterbitkan: Ahad, 27 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RAWANG: Krisis politik di Timur Tengah terutama di Mesir, tidak memberi kesan besar kepada eksport minyak sawit Malaysia ke rantau itu buat masa ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Hamzah Zainuddin berkata bagaimanapun kerajaan tetap mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan pelaburan Malaysia di rantau itu tidak terjejas.

"Walaupun Mesir merupakan pasaran yang penting dan laluan untuk minyak sawit Malaysia menembusi negara Afrika Utara seperti Algeria, Ethiopia, Maghribi dan Sudan, kekecohan tersebut tidak begitu membimbangkan kerana pasaran eskport Malaysia lebih tertumpu kepada China, Pakistan dan India.

"Bagaimanapun kerajaan sentiasa meninjau dari segi keseluruhannya kerana kita mempunyai pelabur seperti Felda yang telah membuka kilang penapis di sana," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran RNZ Group bersama anak-anak yatim di Asrama Damai, Kuang di sini, Ahad.

Pada masa ini, beliau berkata Pakistan merupakan pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas China.

Hamzah berkata Mesir merupakan hub untuk pengeksportan semula minyak sawit Malaysia ke negara lain seperti Iraq dan Sudan, di mana Felda telah membuat pelaburan di sana.

Pergolakan politik di negara-negara itu diharap dapat diselesaikan dengan baik dan cepat untuk kebaikan rakyat negara berkenaan, kata beliau.

Eksport minyak sawit Malaysia ke Mesir mencecah 700,000 tan pada September tahun lepas berbanding 600,000 tan pada tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata kerajaan sedang mengkaji bagi memperkenalkan insentif baru untuk tanaman semula kelapa sawit, selain insentif sedia ada kepada pekebun yang ingin menanam semula pokok kelapa sawit mereka yang tidak lagi mengeluarkan hasil.

Insentif baru itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil sehingga pokok mereka mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga tahun, katanya.

Pada majlis itu, Hamzah turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM43,000 serta 10 buah komputer oleh Yayasan RNZ Group serta sumbangan peribadi beliau berjumlah RM5,000 kepada asrama berkenaan.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan